PROGRAM Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0 Siri 1/2025 telah memulakan latihan selama 45 hari pada 12 Januari hingga 25 Februari 2025 dengan penyertaan seramai 116 pelatih yang hadir secara sukarela dari pelbagai latar belakang, komposisi kaum, agama dan lokaliti.
Sepanjang latihan, pelatih telah diterapkan dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan melalui modul latihan yang seimbang menggabungkan 70 peratus latihan asas ketenteraan dan 30 peratus komponen kenegaraan.
Pendekatan ini dirangka bertujuan untuk membentuk generasi muda yang lebih bermotivasi, berdisiplin, patriotik, memiliki kesedaran sivik yang tinggi, mengamalkan nilai-nilai murni serta sentiasa memupuk semangat perpaduan dan kesukarelawan.
Belia yang memenuhi syarat adalah digalakkan untuk menyertai PLKN 3.0 secara sukarela atau menghadiri sesi latihan apabila menerima tawaran. Peserta kelak berpeluang membangunkan potensi diri dalam aspek kehidupan bukan hanya dalam aspek fizikal tetapi juga dalam kemahiran insaniah, keusahawanan dan teknologi sebagai persediaan menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
Pada tahun ini, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan melaksanakan PLKN 3.0 siri 2/2025 pada 11 Mei hingga 24 Jun 2025 dan siri 3/2025 pada 7 September hingga 21 Oktober 2025. Kedua-dua siri tersebut akan dilaksanakan di Kem Rejimen 515 AW, Kuala Lumpur dan Kem Rejimen 505 AW, Pekan Pahang. – UTUSAN
KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
Putrajaya










