Tempoh latihan PLKN dicadang dilanjutkan sehingga 90 hari

Tempoh latihan PLKN dicadang dilanjutkan sehingga 90 hari

AHMAD Zahid Hamidi memeriksa perbarisan pelatih PLKN pada Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0) di Kompleks Sukan Bagan Datuk, Bagan Datuk, Perak hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Tempoh latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dicadang dilanjutkan daripada 45 hari kepada sekurang-kurangnya 90 hari bagi memperkukuhkan daya tahan dan disiplin dalam kalangan pelatih.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun tempoh latihan sedia ada dilihat mencukupi, cadangan untuk melanjutkan tempoh latihan pada siri PLKN akan datang wajar dipertimbangkan bagi memastikan keberkesanan program tersebut.

“Tempoh 45 hari itu saya rasakan mencukupi buat masa ini, namun jika mahu program ini lebih mantap, kita perlu pertimbangkan untuk melanjutkannya kepada sekurang-kurangnya 90 hari atau 180 hari pada masa akan datang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Daya tahan dalam kalangan wira muda ini perlu diterapkan menerusi kurikulum PLKN 4.0 atau 5.0 nanti. Bagaimanapun, pelaksanaannya juga bergantung kepada kemampuan kerajaan untuk membiayai program yang baik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0) di Kompleks Sukan Bagan Datuk, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, Malaysia juga boleh mencontohi pelaksanaan latihan seumpama itu di beberapa negara lain yang menyediakan tempoh latihan sehingga setahun.

Katanya, latihan sedemikian bukan sahaja membentuk generasi yang berdisiplin dan mempunyai daya tahan tinggi, malah membuka peluang kepada peserta untuk diserapkan ke dalam pasukan keselamatan seperti tentera, polis dan pertahanan awam.

“Kita tidak semestinya mengikuti acuan mereka, tetapi boleh mencontohi negara berkenaan.

“Dalam jangka panjang, kita dapat mewujudkan generasi yang berdisiplin dan mempunyai daya tahan yang kuat,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Ahmad Zahid berkata, bekas pelatih PLKN berpotensi digerakkan sebagai sukarelawan bagi membantu operasi pengurusan bencana sekiranya tenaga mereka diperlukan.

Beliau berkata, pihaknya melihat keperluan mengumpulkan data bekas pelatih program itu bagi memudahkan proses mobilisasi mereka khususnya ketika berlaku bencana.

“Sekarang memang sudah ada, umpamanya di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara di peringkat pusat, peringkat negeri dan peringkat daerah, memang telah ada.

“Tetapi oleh kerana mereka berada di bidang yang berbeza, mungkin data boleh dikumpulkan untuk kita memobilisasikan mereka.

“Namun jika mereka bekerja, itu agak sukar sedikit tetapi mungkin suatu kaedah boleh dicari untuk membawa mereka menjadi sukarelawan ketika bencana atau ketika tenaga mereka diperlukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini