Keluarga dorong Siti Nur Amira sertai PLKN

Keluarga dorong Siti Nur Amira sertai PLKN

SITI Nur Amira Fauzi (kanan) dibantu keluarganya semasa mendaftarkan diri pada Program Latihan PLKN 3.0 di Kem 504 AW, Bukit Keteri, Perlis semalam. – MINGGUAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Atas nasihat dan suntikan semangat daripada keluarga mendorong Siti Nur Amira Fauzi, 17, berazam mahu mengikuti Program Latihan Khid­mat Negara (PLKN) 3.0 di Kem 504 Askar Wataniah (AW), Bukit Keteri di sini.

Perasaan gementar dengan keupayaan diri itu hilang setelah mendapat suntikan kata-kata semangat keluarga yang menghantarnya dari Pulau Pinang.

Anak bongsu dari enam adik beradik itu berkata, dia tidak pernah berjauhan dengan keluarga namun telah mempersiapkan diri dari aspek mental dan emosi bagi mengikuti PLKN berkenaan.

“Saya memang takut kerana tidak pernah berjauhan dengan keluarga, tetapi saya kena yakin dan cuba menyesuaikan diri.

“Saya berharap penyertaan saya dalam PLKN 3.0 ini dapat membentuk sikap yang lebih positif, meningkatkan disiplin dan mengukuhkan jati diri,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Perda itu ketika ditemui Mingguan Malaysia selepas melaporkan diri sebagai pelatih PLKN 3.0 di sini semalam.

Bagi seorang pelatih berbangsa Cina, Chua Ru Yi, 17, pula berkata, dia tidak menyangka akan terpilih menyertai PLKN 3.0 memandangkan program itu baharu dilaksanakan semula.

Namun dia sama sekali tidak keberatan untuk bersama-sama menyertai seterusnya merasai sendiri pengalaman mengikuti latihan di kem itu.

“Pada mulanya, saya gementar apabila terpilih. Namun, setelah melihat video program yang pernah dilaksanakan melalui media sosial, perasaan gementar itu hilang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN