PROGRAM Latihan Khidmat Negara (PLKN) kini sudah berakhir bagi peserta yang baru menamatkan latihan.
Mereka kembali kepada keluarga, pengajian, pekerjaan dan kehidupan masing-masing selepas melalui pengalaman yang menemukan mereka dengan rakan daripada pelbagai latar belakang.
Namun, apabila latihan selesai, satu persoalan yang lebih besar wajar difikirkan, iaitu apakah yang sebenarnya dibawa pulang oleh generasi muda ini.
Gen Z membesar dalam dunia yang sangat dekat dengan teknologi, tetapi pengalaman mengikuti PLKN membawa mereka ke ruang interaksi yang berbeza.
Peserta perlu berada dalam satu persekitaran bersama individu yang mungkin tidak pernah mereka kenali sebelum ini.
Mereka datang daripada negeri, keluarga dan pengalaman hidup yang berbeza, selain mempunyai personaliti serta pandangan yang tersendiri.
Walaupun terdapat perbezaan, mereka tetap perlu bekerjasama, berkomunikasi dan melaksanakan tanggungjawab bersama.
Pengalaman sedemikian sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan kehidupan selepas PLKN.
Apabila melanjutkan pengajian atau memasuki alam pekerjaan, seseorang tidak semestinya dapat memilih dengan siapa mereka perlu bekerjasama.
Mereka akan berhadapan dengan individu yang mempunyai cara berfikir, pengalaman dan keutamaan yang berbeza.
Keupayaan untuk mendengar, berkomunikasi dengan baik, menerima pandangan orang lain dan mencari penyelesaian bersama menjadi kemahiran yang semakin penting.
Nilai inilah yang perlu dibawa keluar dari kem dan diteruskan dalam kehidupan harian. Disiplin yang diterapkan sepanjang latihan tidak sepatutnya hanya diamalkan apabila terdapat jadual dan arahan.
Begitu juga dengan kemahiran bekerja dalam kumpulan yang perlu diterjemahkan dalam tugasan pengajian, organisasi, pekerjaan dan aktiviti kemasyarakatan.
Cabaran selepas PLKN juga tidak kecil. Gen Z bakal memasuki dunia yang semakin dipengaruhi oleh kecerdasan buatan, automasi dan perubahan teknologi.
Kemahiran digital tentunya penting, tetapi keupayaan untuk berkomunikasi, membina kepercayaan, bekerjasama dan mengurus perbezaan masih diperlukan.
Teknologi boleh membantu manusia melakukan banyak perkara, tetapi hubungan antara manusia tetap memerlukan kefahaman dan pertimbangan.
Pengalaman bersemuka yang dilalui sepanjang PLKN mempunyai nilai yang tidak seharusnya dipandang ringan.
Ia memberikan peluang kepada generasi muda untuk belajar bahawa kehidupan bukan hanya tentang keupayaan menggunakan teknologi, tetapi juga tentang keupayaan memahami manusia yang berada di sekeliling mereka.
Tamatnya PLKN juga tidak seharusnya menjadi noktah kepada nilai yang diperoleh. Sebaliknya, pengalaman itu boleh menjadi bekalan ketika mereka melangkah ke fasa kehidupan yang seterusnya.
Apa yang dipelajari tentang disiplin, kerjasama, kepimpinan dan perbezaan hanya akan benar-benar bermakna apabila diterjemahkan melalui tindakan.
Ukuran sebenar sesuatu program bukan hanya apa yang berlaku sepanjang peserta berada di dalamnya.
Nilainya lebih jelas melalui perubahan yang dibawa pulang dan bagaimana pengalaman tersebut mempengaruhi cara mereka berfikir, berkomunikasi dan berhubung dengan masyarakat.
PLKN mungkin sudah selesai bagi peserta Gen Z yang baru menamatkan latihan. Namun, pengalaman yang mereka bawa pulang masih mempunyai ruang untuk berkembang dalam kehidupan selepas itu.
Jika pengalaman tersebut diteruskan melalui sikap dan tindakan, manfaatnya bukan hanya dirasai oleh individu berkenaan, tetapi turut memberi kesan kepada masyarakat yang bakal mereka bentuk. – UTUSAN
DR. NURUL FARDINI ZAKARIA
Pensyarah Kanan (Pemasaran)
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM)











