Peluru berpandu Houthi serang Riyadh lagi - Utusan Malaysia

Peluru berpandu Houthi serang Riyadh lagi

HOUTHI melancarkan serangan peluru berpandu ke arah Riyadh. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Pakatan tentera pimpinan Arab Saudi yang memerangi kumpulan Houthi di Yaman berkata awal Isnin bahawa pihaknya memintas peluru berpandu yang dilancarkan kumpulan itu ke arah ibu negara, Riyadh.

“Pertahanan udara memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh Houthi ke arah Riyadh,” tulis jurucakap pakatan itu, Turki Al-Malki, di platform X.

Sementara itu, serpihan daripada dua peluru berpandu balistik yang dipintas selepas dilancarkan kumpulan Houthi Yaman yang disokong Iran mencederakan dua orang serta merosakkan rumah dan kenderaan di Arab Saudi pada Ahad, menurut pihak berkuasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kejadian  itu, seorang warga Arab Saudi dan seorang ekspatriat warga Asia cedera apabila serpihan peluru berpandu jatuh di Khamis Mushayt serta Ahad Rafidah, menurut jurucakap Pertahanan Awam Arab Saudi. 

Tiga bangunan kediaman dan tujuh kenderaan turut mengalami kerosakan.

Kejadian itu menyusuli insiden serupa pada Sabtu apabila serpihan daripada dua peluru berpandu balistik Houthi jatuh di beberapa lokasi di barat Arab Saudi, termasuk berhampiran kota suci Mekah.

Sebahagian serpihan jatuh di Wadi Al-Mughammas, kira-kira 20 kilometer dari Masjidil Haram di Mekah, iaitu tempat paling suci dalam Islam, kata jurucakap itu.

Serpihan turut jatuh di kawasan kejiranan Al-Nuzha di Jeddah, Wadi Jalil di Taif dan Masturah di wilayah pentadbiran Rabigh.

Pertahanan Awam tidak melaporkan sebarang kecederaan atau kematian mahupun memberikan butiran kerosakan akibat pemintasan peluru berpandu pada Sabtu.

Gabungan bagi Memulihkan Kesahan di Yaman berkata pada Ahad bahawa pihaknya memintas dan memusnahkan dua dron dan sebuah peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah Riyadh, selain sebuah peluru berpandu ke arah bandar Khamis Mushayt di selatan negara itu.

Gabungan itu kemudian memaklumkan bahawa pihaknya memintas 10 peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah selatan Arab Saudi.

Kumpulan Houthi yang disokong Iran meningkatkan serangan terhadap Arab Saudi sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dengan menyasarkan lapangan terbang, infrastruktur tenaga dan kawasan awam. 

Kumpulan itu turut melancarkan serangan ke arah dua lokasi paling penting dalam Islam di Mekah dan Madinah. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini