TURIN: Carlos Alcaraz tetap optimis memburu gelaran sulung ATP Finals meskipun mengalami masalah perut sehingga terpaksa menamatkan sesi latihan lebih awal menjelang kejohanan penutup musim itu, Jumaat lalu.
Pemain Sepanyol itu mengakui tidak dapat bersarapan kerana mengalami ketidakselesaan perut sebaik bangun tidur, namun menegaskan keadaannya semakin baik dan pasukannya mengambil langkah berjaga-jaga.
“Saya tidak bersarapan pagi ini kerana tidak mampu berbuat demikian, malah bangun tidur dengan keadaan perut yang sedikit tidak selesa.
“Terpaksa menghentikan latihan lebih awal meninggalkan sedikit kekecewaan, lebih-lebih lagi ketika sesi berlangsung di gelanggang utama dengan ramai penonton, tetapi keadaan saya semakin baik,” katanya.
Naib juara edisi tahun lalu itu hadir dengan keyakinan tinggi selepas memenangi tiga gelaran di Tokyo, Vienna dan Paris sejak kembali beraksi pada penghujung Ogos selepas berehat empat bulan akibat kecederaan pergelangan tangan.
Alcaraz turut mara ke suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) sebelum tewas kepada Ben Shelton, sekali gus menjadikan penampilan keempatnya di Turin sebagai peluang terbaik untuk memburu kejuaraan yang masih belum dimilikinya.
“Setiap tahun saya fikir inilah tahun untuk saya menjuarai kejohanan ini. Kali ini, mungkin saya hadir dalam keadaan terbaik, terutama dari segi mental.
“Saya berasa segar dan benar-benar tidak sabar untuk menghadapi apa sahaja cabaran yang mungkin mendatang,” katanya.
Alcaraz turut mengakui bakal berdepan suasana sedikit janggal apabila bertemu bekas jurulatihnya, Juan Carlos Ferrero yang kini berada di Turin selepas kedua-duanya menamatkan kerjasama pada penghujung musim lalu.
Ferrero yang membimbing Alcaraz meraih enam gelaran Grand Slam dan 24 kejuaraan di peringkat jelajah kini bakal melatih Shelton bermula musim depan, namun pemain Sepanyol itu tetap menantikan peluang bertemu bekas mentornya.
“Keadaan ini mungkin sedikit pelik kerana sudah lama kami tidak berjumpa, tetapi saya teruja dan tidak sabar untuk bertemu serta berbual dengannya.
“Saya fikir dia akan melakukan tugas yang hebat bersama Ben dan membantu meningkatkan permainannya,” katanya. – AGENSI











