Tiada lagi rayuan tambah acara Sukan SEA

Tiada lagi rayuan tambah acara Sukan SEA

TAN Sri Mohamad Norza Zakaria.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia sudah memuktamadkan mengenai senarai 43 sukan dan 473 acara yang bakal dipertandingkan pada Sukan SEA 2027, sekali gus menegaskan tiada lagi perbincangan mengenai penambahan sukan selepas keputusan itu dipersetujui kesemua 11 negara anggota.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, keputusan berhubung jumlah sukan dan acara itu dibuat secara kolektif selepas melalui beberapa peringkat perbincangan serta proses rayuan sejak April lalu.

“Selepas perbincangan, semua bersetuju untuk mengemukakan lima sukan tambahan dan menjadikannya 43 sukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Proses perbincangan secara adil dan kolektif sudah dilaksanakan membabitkan kesemua 11 negara dan keputusan akhir meluluskan 43 sukan dibuat pada Julai lalu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM kali ke-217 di sini, semalam.

Justeru, beliau menghormati pandangan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Erick Thohir yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap beberapa sukan pilihan negara itu yang tidak disenaraikan dalam temasya dwitahunan berkenaan.

Menurut Norza yang juga Presiden Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF 2025/27), Malaysia pada awalnya mengemukakan cadangan 38 sukan pada April lalu sebelum memberi tempoh sebulan kepada semua negara anggota untuk mengemukakan rayuan sekiranya mahu sukan tertentu dipertandingkan.

“Sebanyak 29 sukan dikemukakan untuk pertimbangan dalam proses rayuan sebelum perkara berkenaan dibincangkan secara terperinci menerusi Jawatankuasa Peraturan dan Sukan yang diwakili kesemua 11 negara.

“Hasil perbincangan itu kemudian dibawa ke peringkat Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) sebelum mendapat persetujuan Majlis SEAGF yang terdiri daripada presiden setiap negara anggota,” ujarnya.

Jelasnya lagi, Malaysia turut mengemukakan senarai 473 acara pada Oktober lalu dan perkara itu juga sudah mendapat persetujuan kesemua negara anggota.

Sehubungan itu, beliau menegaskan proses penentuan sukan sudah selesai memandangkan ruang untuk mengemukakan rayuan sebelum ini telah diberikan kepada semua negara sejak April hingga Mei lalu.

“Kalau ada pun rayuan, tempohnya adalah dari April hingga Mei. Sekarang sudah bulan November. Setakat ini, kita sedang berbincang mengenai acara, bukannya lagi mengenai sukan,” katanya.

Mengulas sama ada beliau terkejut dengan bantahan Indonesia yang dibangkitkan ketika ini, Norza berkata, setiap negara mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan masing-masing.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan yang dicapai itu dibuat selepas semua rayuan dinilai dan dipertimbangkan secara bersama, termasuk dengan penglibatan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari sepanjang proses berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini