Cheng Hoe tidak tutup pintu buat pemain warisan

Cheng Hoe tidak tutup pintu buat pemain warisan

TAN CHENG HOE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peluang menyarung jersi Harimau Malaya kekal terbuka kepada semua pemain yang layak, termasuk mereka berstatus warisan dan naturalisasi, meskipun bola sepak negara pernah dilanda kontroversi membabitkan tujuh pemain sebelum ini.

Ketua jurulatih interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe berkata isu berkenaan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mendapatkan khidmat pemain baharu, sebaliknya keutamaan ketika ini adalah membentuk pasukan yang mampu bersaing.

Beliau berkata, setiap pemain perlu dinilai berdasarkan kemampuan masing-masing untuk menyumbang kepada pasukan, selain memastikan pemain tempatan terus memainkan peranan penting dalam perancangan masa depan Harimau Malaya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai jurulatih, saya tidak mahu mengulas mengenai isu-isu yang berlaku sebelum ini. Saya hanya mahu memberikan tumpuan kepada pasukan kebangsaan yang baharu.

“Kami mengalu-alukan mana-mana pemain yang boleh mewakili negara. Paling penting, kami juga mengharapkan pemain tempatan dapat memberikan impak positif untuk masa depan pasukan bola sepak Malaysia,” katanya.

Cheng Hoe berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media China mengenai hala tuju Malaysia dalam mendapatkan pemain naturalisasi pada masa depan susulan kontroversi yang membabitkan tujuh pemain warisan sebelum ini.

Malaysia sebelum ini berdepan isu pemalsuan dokumen melibatkan Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Kesemua pemain berkenaan dikenakan denda serta penggantungan selama 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), dengan hukuman itu berakhir bulan lalu dan menyaksikan mereka kembali beraksi bersama kelab masing-masing.

Bagaimanapun, kontroversi tersebut tidak menghalang Harimau Malaya daripada mendapatkan pemain warisan dan naturalisasi baharu apabila Bergson Da Silva, Manuel Hidalgo serta Brad Tapp membuat penampilan sulung bersama skuad negara pada Piala ASEAN FIFA di Indonesia, September dan Oktober lalu.

Terbaharu, Harimau Malaya turut mendapat khidmat Shane Lowry dari Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas pemain itu memperoleh kelulusan FIFA untuk mewakili Malaysia bermula kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini