BAGAN DATUK: Permintaan terhadap kelapa muda di sini meningkat tiga kali ganda semasa Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda ketika ini.
Seorang pengusahanya, Halil Khusairi Mat Asin, 52, berkata, ekoran itu juga bekalan ketika ini adalah tidak mencukupi termasuk untuk memenuhi permintaan pembekal, penjual dan restoran.
“Sebelum ini pelanggan tetap dari Kuala Lumpur dan Ipoh mengambil 3,000 biji tetapi kali ini cecah 5,000 sehingga 8,000 biji sekali ambil.
“Restoran menjual kelapa muda juga kini mengambil sehingga 1,000 biji kelapa sehari berbanding 400 biji sebelum ini.
“Selain itu, peniaga kecil jual air kelapa muda dalam balang juga mengambil 100 biji sehari. Biasanya ambil seminggu sekali 300 biji itu pun susah hendak habis,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Jelasnya, ketika ini hampir setiap masa ada sahaja pelanggan di Pusat Pengumpulan Kelapa Muda Sungai Ular untuk dapatkan bekalan kelapa muda. – UTUSAN











