PETALING JAYA: Takungan air hujan bawah tanah boleh dibina di kawasan padat di Lembah Klang bagi mengurangkan risiko banjir kilat, terutamanya di lokasi yang mempunyai ruang terhad di permukaan.
Pensyarah Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Aweng Eh Rak berkata, takungan itu boleh menahan air larian hujan buat sementara waktu sebelum disalurkan ke sistem perparitan.
“Kita perlu mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk dijadikan takungan semula jadi. Jika ruang di permukaan terhad, takungan boleh dibina di bawah tanah.
“Permukaan bertar atau berkonkrit di luar bangunan juga boleh digantikan dengan bahan telap air supaya air hujan dapat meresap ke dalam tanah,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Menurut Aweng, penggunaan bahan telap air dapat mengurangkan jumlah air yang mengalir terus ke longkang dan sungai ketika hujan lebat.
Katanya, bangunan juga perlu diwajib menyediakan sistem penuaian air hujan untuk menadah air dari bumbung dan menyimpannya di dalam tangki.
Beliau berkata, bumbung konkrit yang sesuai pula boleh diubah suai menjadi bumbung hijau.
“Bumbung hijau boleh dibina dengan memasang lapisan penakung air dan menanam rumput di atasnya. Lapisan itu menahan sebahagian air hujan buat sementara waktu.
“Apabila lapisan itu sudah penuh, lebihan air dilepaskan sedikit demi sedikit,” katanya.
Menurutnya, kaedah itu dapat mengurangkan jumlah air yang mengalir ke longkang pada satu-satu masa. – UTUSAN











