ARAU: Golongan siswazah seharusnya memanfaatkan ilmu dan kepakaran dimiliki bagi menghasilkankan penyelesaian bermanfaat kepada rakyat, memperkukuh daya saing negara serta memperluas perkongsian ilmu demi kemajuan bersama.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, dengan memiliki ilmu tinggi, golongan berkenaan dapat memainkan peranan bagi menyumbang kembali buat bangsa dan negara.
Titahnya, dalam masa sama, golongan siswazah juga hendaklah sentiasa berpegang pada nilai-nilai murni dan prinsip yang teguh dalam setiap tindakan atau keputusan bagi mendepani dunia yang semakin dinamik.
“Negara memerlukan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu dan kemahiran malah mempunyai jati diri, disiplin serta komitmen tinggi dalam melaksanakan setiap tanggungjawab diberikan,” titah baginda bersempena Istiadat Konvokesyen 21 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini, semalam.
Pada istiadat kali ini, seramai 3,775 graduan diraikan menerusi tujuh sidang bermula semalam sehingga 17 November.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, generasi ilmuwan juga perlu terus berani meneroka idea baharu, memperkasa budaya penyelidikan serta menghasilkan inovasi yang mampu membuka peluang dan membawa manfaat buat rakyat.
Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, universiti itu terus berkembang sebagai sebuah universiti teknikal pilihan apabila merekodkan peningkatan enrolmen pelajar daripada 11,883 pada tahun 2023 kepada 16,528 pada tahun ini.
Katanya, peningkatan ini mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap kualiti pendidikan yang ditawarkan oleh UniMAP.
Menurut beliau, pertumbuhan itu turut disusuli dengan tanggungjawab dan komitmen universiti untuk memastikan setiap mahasiswa mendapat pendidikan berkualiti.
Menurut Zaliman, kadar Kebolehpasaran Graduan (GE) UniMAP juga direkodkan melebihi 99 peratus malah institusi pengajian itu turut mendapat pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Kadar Graduan Pilihan Syarikat Multinasional (MNC) tertinggi selama dua tahun berturut-turut.
“Negara kita terus memerlukan tenaga pakar dalam bidang Mekanikal, Pembuatan dan Teknologi Pertanian malah laporan TalentCorp Malaysia menyenaraikan bidang-bidang ini dalam Senarai Pekerjaan Kritikal (MyCOL).
“Dijangkakan permintaan untuk jurutera dan teknologis mekanikal dan pembuatan akan meningkat sebanyak 24 peratus dari 58,000 kepada 72,000 dalam tempoh 10 tahun ini,” katanya.
Tambahnya, alumni UniMAP diharap dapat memberikan sumbangan semula demi kemajuan universiti itu dan kelangsungan generasi akan datang.-UTUSAN.











