PETALING JAYA: Universiti teknikal tidak lagi boleh sekadar berperanan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, sebaliknya perlu berkembang sebagai pemacu pembangunan negara melalui penyelidikan, inovasi, penciptaan teknologi dan pembangunan bakat yang benar-benar memenuhi keperluan industri.
Bagi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), kekuatan itu sudah mula diterjemahkan menerusi pengiktirafan industri apabila graduannya menjadi pilihan syarikat multinasional (MNC) bagi dua tahun berturut-turut, seiring aspirasi universiti itu untuk berkembang daripada institusi teknikal kepada pemacu pembangunan negara menjelang 2030.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, kekuatan UniMAP dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dimanfaatkan secara lebih strategik untuk mencapai aspirasi berkenaan.
Menurutnya, UniMAP bukan sahaja mahu terus menjadi pembekal tenaga kerja berkemahiran tinggi kepada industri, tetapi turut berperanan sebagai rakan strategik dalam pembangunan teknologi dan mencari penyelesaian terhadap cabaran negara.
“Visi saya adalah untuk melihat UniMAP menjadi sebuah universiti teknikal yang berdaya saing di peringkat antarabangsa, mempunyai penyelidikan yang memberi impak kepada industri dan masyarakat serta mampu melahirkan bakat yang menjadi peneraju dalam bidang masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, kejayaan universiti juga tidak seharusnya hanya diukur menerusi jumlah graduan, penerbitan ilmiah atau kedudukan dalam penarafan antarabangsa.
Sebaliknya, ukuran lebih penting ialah sejauh mana ilmu dan kepakaran universiti dapat diterjemahkan kepada penciptaan teknologi, penghasilan inovasi, pembangunan ekonomi serta penyelesaian kepada permasalahan masyarakat.
“Hala tuju itu diterjemahkan melalui Pelan Strategik UniMAP 2026–2030 yang dirangka seiring Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 dengan mengambil kira perubahan landskap pendidikan tinggi dan perkembangan teknologi.
“Pelan tersebut menggariskan enam objektif strategik iaitu Keunggulan Akademik, Kebitaraan Bakat, Kesohoran Global, Transformasi Penyelidikan, Sinergi Industri dan Kemampanan Kewangan sebagai teras kepada transformasi universiti,” katanya.
Zaliman berkata, keunggulan akademik perlu disokong tenaga akademik berkualiti serta kurikulum yang responsif terhadap perubahan teknologi, manakala penyelidikan harus bergerak lebih dekat dengan keperluan industri supaya hasilnya menghasilkan nilai ekonomi.
Dalam masa sama, hubungan strategik dengan industri bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada graduan, malah membantu universiti memperkukuh kepakaran, kemudahan penyelidikan dan pemindahan teknologi.
“Selain itu, kekuatan pembangunan bakat UniMAP turut diterjemahkan melalui pengiktirafan apabila universiti itu menerima Anugerah Kadar Graduan Pilihan Syarikat Multinasional (MNC) Tertinggi menerusi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) bagi dua tahun berturut-turut pada 2024 dan 2025.
“Bagi 2025, UniMAP turut merekodkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 99.4 peratus dalam kategori Universiti Awam, sekali gus mencerminkan keyakinan industri terhadap kualiti pendidikan, kompetensi dan kebolehpasaran graduannya,” katanya.

Menurut beliau, antara faktor yang menyumbang kepada pencapaian tersebut ialah identiti UniMAP sebagai universiti teknikal yang memberi penekanan kepada penguasaan ilmu kejuruteraan, kemahiran praktikal serta pendedahan kepada persekitaran industri.
Katanya, graduan tidak boleh hanya menguasai teori, sebaliknya perlu mampu mengaplikasikan ilmu, mengendalikan teknologi, menyelesaikan masalah serta menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja yang sentiasa berubah.
“Hubungan dengan industri diperkukuh melalui latihan industri, 12 Makmal ‘Industry on Campus’, Industrial Advisory Panel dan pelbagai program bersama pemain industri yang memberikan mahasiswa pendedahan awal kepada teknologi, budaya kerja serta kompetensi diperlukan majikan.
“Bagaimanapun, matlamat UniMAP bukan sekadar memastikan graduan mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian, tetapi menyediakan mereka untuk memperoleh kerjaya berkualiti, berkembang secara profesional serta menyumbang kepada industri dan ekonomi negara.
“Perubahan landskap pekerjaan akibat kecerdasan buatan (AI), automasi, pendigitalan dan teknologi baharu turut menuntut universiti melihat lebih jauh daripada keperluan pasaran kerja semasa dengan menjangkakan bidang kepakaran untuk lima hingga 10 tahun akan datang.
“UniMAP melaksanakan pendekatan itu menerusi pengukuhan kurikulum berasaskan keperluan industri, peluasan latihan praktikal, kerjasama strategik dengan syarikat serta peningkatan pendedahan mahasiswa kepada teknologi baharu,” katanya.
Zaliman berkata, graduan masa hadapan juga perlu memiliki pemikiran kritis, kreativiti, kebolehan berkomunikasi, kepimpinan, integriti serta keupayaan pembelajaran sepanjang hayat selain penguasaan kemahiran teknikal.
Oleh itu, UniMAP mahu melihat lebih ramai alumninya memegang jawatan profesional dan kepimpinan, terlibat dalam pembangunan teknologi, menerajui syarikat serta menghasilkan inovasi yang memberi manfaat kepada negara.
“Dalam aspek penyelidikan, UniMAP mahu bergerak daripada pendekatan yang terlalu tertumpu kepada penerbitan ilmiah kepada penyelidikan yang mampu menghasilkan penyelesaian, inovasi dan nilai ekonomi.
“Antaranya, UniMAP telah menjalinkan kerjasama penyelidikan dengan Intel dalam bidang ‘Advanced Packaging’ (pembungkusan termaju), manakala kerjasama dengan Nihon Superior menghasilkan produk ‘Lead-Free Solder Wire’ (dawai pateri tanpa plumbum) bagi aplikasi pembungkusan elektronik,” katanya.
Beliau berkata, UniMAP juga mempunyai lebih 230 kerjasama industri dalam sektor semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E), selain 12 kemudahan Industry on Campus (IoC) bagi mendekatkan mahasiswa dan penyelidik dengan pengalaman teknologi sebenar.
“Keupayaan pembangunan bakat itu dapat dilihat apabila kira-kira 40 peratus tenaga kerja Oppstar dan lebih 30 peratus tenaga kerja SkyeChip merupakan alumni UniMAP, sekali gus menunjukkan hubungan langsung kepakaran universiti dengan keperluan industri.
“Menjelang 2030, UniMAP mahu menjadi universiti teknikal yang lebih kukuh dari segi akademik, penyelidikan, pembangunan bakat dan reputasi antarabangsa serta melahirkan pemimpin, pencipta teknologi, penyelidik dan inovator yang mampu membentuk masa depan negara,” katanya. – UTUSAN











