LONDON: Penyokong Manchester United didakwa terus menjadi mangsa kelemahan pengurusan kelab apabila terpaksa menanggung kenaikan kos tiket serta pengurangan hak mereka ketika pasukan itu bergelut dengan kemerosotan prestasi.
Persatuan Penyokong Manchester United (MUST) membidas dasar penjualan tiket yang disifatkan terlalu agresif sehingga menjejaskan hubungan antara penyokong dengan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Menurut MUST, penyokong setia tidak seharusnya dijadikan sumber pendapatan semata-mata bagi menampung kelemahan pengurusan dan cita-cita pemilik membangunkan stadium baharu.
“Dasar penjualan tiket yang agresif semakin merosakkan hubungan dengan penyokong.
“Penyokong kini diminta menanggung akibat salah urus pemilik serta cita-cita pembinaan stadium mereka melalui caj lebih tinggi dan hak yang semakin berkurangan,” menurut kenyataan MUST yang dipetik Reuters.
Kritikan itu hadir susulan pemecatan pengendali United, Michael Carrick semalam, selepas pasukan berkenaan hanya mencatat satu kemenangan daripada 10 perlawanan liga musim ini.
Prestasi buruk itu menyaksikan United terperosok ke tangga ke-18 EPL dengan hanya mengutip lapan mata, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap barisan pengurusan kelab.
Kumpulan itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap hubungan yang semakin renggang antara penyokong, pemain dan pengurusan kelab susulan keputusan mengecewakan di atas padang.
Menurut laporan The Independent, sorakan mengejek secara besar-besaran di Old Trafford serta kritikan terbuka daripada pemain senior mencerminkan ketegangan yang semakin memuncak dalam kelab berkenaan.
Malah, sepanduk protes di Stretford End yang mengecam layanan pengurusan terhadap penyokong sebelum ini turut dianggap sebagai amaran awal terhadap kemerosotan hubungan tersebut.
Pada Julai lalu, United mengumumkan cadangan lokasi stadium baharu berkapasiti 100,000 penonton berhampiran Old Trafford, yang menjadi antara projek utama pemilik minoriti, Jim Ratcliffe.
Menurut kelab itu, projek berkenaan berpotensi menyumbang lebih £7 bilion (RM37 bilion) setahun kepada ekonomi Britain, selain membuka ruang pembangunan kira-kira 15,000 kediaman.
Bagaimanapun, MUST menegaskan pemilik perlu mengutamakan pemulihan kepercayaan penyokong dan mengiktiraf kesetiaan mereka sebagai asas penting kepada kejayaan kelab.
Kemarahan penyokong semakin memuncak selepas United memecat Michael Carrick semalam susulan prestasi buruk yang menyaksikan pasukan itu terperosok ke zon penyingkiran EPL.
Sementara itu, United dilaporkan sudah mencapai persetujuan dengan pengendali skuad kebangsaan Amerika Syarikat, Mauricio Pochettino untuk mengambil alih tugas sebagai jurulatih baharu kelab itu.
Menurut Sky Sports, bekas pengendali Tottenham Hotspur dan Chelsea itu dijangka menandatangani kontrak selama dua setengah tahun sehingga musim panas 2029, dengan pengumuman rasmi pelantikannya dijadualkan pada Jumaat.
Pochettino yang mempunyai klausa pelepasan bernilai £7 juta (kira-kira RM39 juta) dalam kontraknya bersama Amerika Syarikat dijangka memulakan tugas selepas mengendalikan dua perlawanan antarabangsa menentang Haiti.
Pengendali dari Argentina itu dijangka membuat penampilan sulung bersama United apabila pasukan berkenaan bertandang ke Anfield untuk menentang Liverpool pada 22 November ini.- AGENSI











