LONDON: Thomas Tuchel menegaskan tidak akan meninggalkan England sebelum Euro 2028 biarpun menerima tawaran daripada kelab besar.
Pengendali The Three Lions itu berkata, kontraknya bersama Persatuan Bola Sepak England (FA) tidak mempunyai klausa pelepasan dan dia mahu menamatkan tugasan yang masih belum selesai bersama pasukan kebangsaan.
“Tiada klausa pelepasan dan saya juga tidak berniat untuk pergi. Saya sudah menandatangani kontrak dan mahu kekal sehingga Euro. Saya mahu mengharungi Euro. Kami masih mempunyai urusan yang belum selesai,” katanya.
Tuchel menegaskan komitmennya bersama England kekal utuh sehingga Euro 2028 dan tidak bercadang menerima tawaran daripada mana-mana kelab dalam tempoh tersebut.
“Ya, saya boleh katakan begitu,” katanya ketika ditanya sama ada peluang untuk meninggalkan England sebelum kejohanan itu adalah sifar.
Bekas pengendali Chelsea dan Bayern Munich itu berkata, kepercayaan diberikan FA selepas kempen Piala Dunia menjadi antara faktor utama yang membuatkannya selesa meneruskan tugas bersama England.
“Mereka membuat keputusan itu sangat awal ketika Piala Dunia. Malah sebelum klausa itu diaktifkan, mereka sudah menjelaskannya dengan terang.
“Ia datang daripada kepercayaan dan itulah yang anda mahukan sebagai jurulatih. Saya sayangkan kumpulan pemain saya, saya sayangkan barisan kejurulatihan dan saya mempunyai majikan yang mempercayai saya serta gembira dengan cara kami bekerja,” katanya.
Bagaimanapun, Tuchel mengakui masih merindui rutin mengendalikan kelab dan mahu kembali ke arena tersebut selepas tamat tugasnya bersama England.
“Ya, sudah tentu. Saya rindukan 50 perlawanan semusim, seperti yang saya katakan,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan kembali ke pengurusan kelab selepas Euro 2028.
Tuchel menyambung kontrak bersama England pada Februari lalu sehingga tamat Euro 2028 selepas sebelum itu terikat hingga Piala Dunia 2026.
England kini memberi tumpuan kepada kempen Liga Negara-Negara dengan Tuchel turut menyasarkan kejayaan dalam kejohanan itu sebelum membawa skuadnya menghadapi Euro 2028 di laman sendiri. – AGENSI











