NEVADA: Pelumba Red Bull, Max Verstappen mengakui bingung dengan keputusan Ferrari yang membenarkan dua pelumbanya, Lewis Hamilton dan Charles Leclerc untuk bersaing sesama sendiri.
Juara dunia empat kali itu seolah-olah tidak dapat menerima pendekatan digunakan Ferrari kerana ia mampu merugikan pasukan dan ia dibuktikan ketika perlumbaan Grand Prix (GP) Mexico awal bulan ini.
Pada perlumbaan tersebut, Hamilton dan Leclerc bersaing sesama sendiri di awal saingan sehingga memberi kelebihan kepada Verstappen untuk memintas, seterusnya menamatkan aksi sebagai pemenang.
“Sudah banyak kali saya cakap sebelum ini dan ramai orang tidak setuju. Jika saya menjadi seorang prinsipal, tidak mungkin saya akan mendapatkan dua orang pelumba berstatus ‘No.1’ dalam satu pasukan.
“Salah seorang tidak akan mengalah kerana mereka fikir mereka mampu untuk memenangi perlumbaan. Apabila mereka berlumba sesama sendiri, akhir sekali ia akan merugikan pasukan tersebut,” katanya.
Sepanjang saingan musim ini, Ferrari menerusi ketua pasukannya, Fred Vasseur berulang kali mengakui pasukan itu membenarkan kedua-dua pelumbanya untuk bersaing dan memenangi perlumbaan.
Bagaimanapun, selepas insiden yang tercetus di GP Mexico sebelum ini, mereka sudah duduk semeja dan berbincang mengenai perkara tersebut dengan jaminan ianya tidak akan berulang lagi.
Mengulas mengenai GP Sao Paulo, Verstappen berkata, beliau tidak akan memilih dua pelumba utama sekiranya diberi tanggungjawab mengendalikan sesebuah pasukan.
Menurut Verstappen, pembahagian jelas antara pelumba utama dan kedua membolehkan pasukan mengelakkan persaingan dalaman, selain memastikan kutipan mata yang lebih baik.
“Jika pasukan mempunyai pelumba jelas berstatus ‘No. 1’ dan ‘No. 2’, mereka mungkin melepasi selekoh pertama di kedudukan pertama dan kedua sebelum menamatkan perlumbaan pada kedudukan sama.
“Atau di kedudukan pertama dan ketiga, itu juga tidak mengapa kerana sebagai sebuah pasukan, mereka masih mengutip mata yang baik,” katanya.
Sementara itu, Hamilton menegaskan perselisihan faham dengan Leclerc susulan insiden di Mexico sudah diselesaikan selepas kedua-duanya mengadakan perbincangan bersama prinsipal pasukan Ferrari, Fred Vasseur di Brazil.- AGENSI











