KSN antara 7,369 graduan Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia - Utusan Malaysia

KSN antara 7,369 graduan Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar antara 7,369 graduan diraikan dalam Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-70 bermula 14 hingga 19 November ini di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Naib Canselor UTM, Profesor Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, istiadat konvokesyen itu melibatkan 10 sesi penganugerahan dan bakal disempurnakan dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah selaku Canselor UTM.

Katanya, Shamsul Azri bakal menerima Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan menerusi laluan Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL.Q).

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau mencatat keputusan cemerlang dan merit dalam sesi viva voce pada 30 Ogos lalu, sekali gus menjadi penerima sulung ijazah DBA menerusi laluan berkenaan di UTM.

“APEL.Q merupakan laluan yang menilai pembelajaran berdasarkan pengalaman terdahulu bagi tujuan penganugerahan kelayakan akademik, sekali gus mencerminkan komitmen universiti dalam mengiktiraf pengalaman profesional serta memperluas peluang pendidikan kepada masyarakat.

“UTM turut menyediakan pilihan pembelajaran fleksibel menerusi Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) serta kursus micro-credential bagi memenuhi keperluan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shafry berkata, seramai 680 orang menamatkan pengajian di peringkat kedoktoran, 1,614 di peringkat sarjana, 4,228 di peringkat sarjana muda, 778 di peringkat diploma dan 69 dalam kategori Diploma Eksekutif serta kelayakan lain.

Manakala 1,176 graduan pula merupakan pelajar antarabangsa dari 48 negara dengan China mencatat bilangan tertinggi iaitu 459 graduan, diikuti Indonesia (107) dan Iraq (86).

Majlis konvokesyen itu turut menyaksikan seramai 98 penerima menerima 20 anugerah dan hadiah akademik, termasuk Anugerah Pelajaran Diraja yang bakal dianugerahkan kepada Ahmad Adam Ismail Abd Hafi dan See Li Fang.

Dalam perkembangan sama, universiti itu turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan Alam Sekitar kepada mantan Pro-Canselor UTM, Tan Sri Dr. Salleh Mohd Nor atas sumbangan beliau dalam memajukan penyelidikan perhutanan dan pemuliharaan khazanah alam negara.

UTM juga bakal menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Dr. Halimaton Hamdan dan Dr. Azlan Abdul Rahman sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan kepada universiti. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini