Abu Bakar tidak gentar dipecat, terus lawan di Bukit Katil - Utusan Malaysia

Abu Bakar tidak gentar dipecat, terus lawan di Bukit Katil

ABU Bakar Sabudin menyerahkan risalah kempen kepada seorang penduduk ketika berkempen di Taman Saujana, Bukit Katil, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bekas Ketua UMNO Cawangan Taman Bukit Katil, Datuk Abu Bakar Sabudin, 65, mempertahankan keputusannya bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Beliau mengakui, sudah empat kali menyuarakan hasrat untuk menjadi calon sejak 2008 dan keputusan bertanding dibuat atas kehendaknya sendiri.

Abu Bakar menafikan dakwaan bahawa dirinya dibayar semata-mata untuk memecahkan undi di kerusi itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebelum dipecat, tindakan yang diterima termasuk dikeluarkan daripada beberapa kumpulan WhatsApp berkaitan UMNO dan aktiviti politik di kawasan Bukit Katil,” katanya ketika ditemui sewaktu mengedarkan risalah kempen di Taman Saujana di sini.

Isnin lalu, keahlian Abu Bakar dalam UMNO secara automatik tergugur selepas beliau disahkan bertanding sebagai calon Bebas.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd. Sumali Reduan berkata, tindakan Abu Bakar bertanding sebagai calon Bebas adalah bercanggah dengan Perlembagaan UMNO, sekali gus menyebabkan beliau kehilangan hak sebagai ahli parti.

Abu Bakar berkata, beliau telah menjadi Ketua Cawangan selama lebih 30 tahun dan keputusan untuk bertanding bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya telah dibincangkan bersama ahli-ahli cawangan.

“Saya mendapat sokongan daripada ahli dan penduduk, selain percaya mampu menguruskan gerak kerja kempen walaupun tanpa jentera besar seperti parti-parti politik lain.

“Keseluruhan kos kempen ditanggung menggunakan wang sendiri dan tidak mempunyai mana-mana pihak yang menaja perbelanjaan.

“Saya keluarkan duit sendiri. Kalau kalah dan deposit hilang pun, saya tidak kisah. Kita sudah minat, apa yang hendak dikira sangat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini