JASIN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap kadar keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok dapat mencapai 70 peratus.
Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom berkata, pihaknya juga berharap pengundi dapat menunjukkan minat untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Menurutnya, sasaran itu mengambil kira kepentingan penyertaan pengundi dalam menentukan kepemimpinan negeri ini.
“Kita harap 70 peratus. Selalunya kita berharap, tambahan lagi ini satu PRN, bukan pilihan raya kecil (PRK).
“Jadi, kita harap rakyat berminat untuk datang dan mengundi. Harap-harap seramai mungkin.
“Selalunya 70 peratus adalah angka yang baik untuk kita cuba capai,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan petugas pilihan raya di Merlimau di sini hari ini.
Menurut Azmi, pengundi diingatkan supaya keluar lebih awal berikutan kemungkinan hujan pada hari pengundian esok.
Katanya, keadaan cuaca tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada rakyat untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Cuaca esok ada ramalan bahawa mungkin hujan. Jadi, kalau boleh datang awal atau bawa payung.
“Datang mengundi walaupun hujan. Apa pun yang berlaku, datang mengundi, itu yang paling penting,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua calon, parti politik dan penyokong supaya menghentikan segala aktiviti kempen selewat-lewatnya pukul 11.59 malam ini.
Katanya, larangan berkempen selepas tempoh tersebut turut merangkumi aktiviti kempen di platform media sosial termasuk Facebook.
“Ini hari terakhir untuk berkempen. Jadi, kita mahu mengingatkan semua calon, rakan-rakan dan penyokong mereka bahawa kempen berakhir malam ini, pukul 11.59 malam.
“Jangan berkempen lagi, termasuk secara dalam talian,” katanya.
Beliau berkata, SPR menjangkakan keputusan penuh PRN Melaka dapat diketahui sekitar tengah malam esok dan perkara itu bergantung kepada kelancaran proses penghantaran peti undi ke pusat penjumlahan rasmi.
Katanya, faktor cuaca termasuk kemungkinan hujan atau banjir boleh mempengaruhi tempoh pengumuman keputusan.
Pada PRN Melaka kali ini, sebanyak 240 pusat mengundi melibatkan 1,213 saluran akan dibuka bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Seramai 79 calon disahkan bertanding bagi merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Daripada jumlah itu, Pakatan Harapan (PH) bertanding di 24 kerusi diikuti Barisan Nasional (BN) (23), Parti Bersama Malaysia (Bersama) (16), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (7), Perikatan Nasional (PN) (5), Bebas (3) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia
(Putra) (1). – UTUSAN











