LONDON: Keluarga Glazer dan pemilik minoriti Manchester United, Jim Ratcliffe digesa bertanggungjawab terhadap kemerosotan kelab itu yang terus dibelenggu masalah prestasi serta ketidakstabilan pengurusan.
Persatuan Penyokong Manchester United (MUST) menegaskan, pemecatan Michael Carrick tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalan pihak pemilik menangani masalah yang sudah berlarutan sejak sekian lama.
Menurut MUST, pengambilalihan United oleh keluarga Glazer yang dibiayai menerusi hutang terus membebankan kelab itu, manakala syarikat kimia multinasional Britain, INEOS milik jutawan Jim Ratcliffe pula didakwa gagal memenuhi janji membawa kecemerlangan sukan susulan pertukaran kepimpinan bola sepak yang berulang kali berlaku.
“Masalah United bukan berpunca terutamanya daripada Carrick atau pengendali sebelumnya. Tanggungjawab itu terletak pada pemilik kelab.
“Pengambilalihan oleh keluarga Glazer yang dibiayai hutang terus membebankan kelab. Apabila INEOS masuk, mereka menjanjikan kecemerlangan sukan, tetapi perubahan kepimpinan bola sepak yang berulang kali berlaku menunjukkan sebaliknya.
“Sudah tiba masanya pemilik memberikan penjelasan dan menunjukkan rasa tanggungjawab,” menurut kenyataan MUST.
Keluarga Glazer yang menguasai pegangan majoriti United turut berdepan kritikan susulan perbelanjaan besar terhadap pemain yang gagal memenuhi jangkaan serta kelewatan pelaburan dalam kemudahan kelab.
Menurut laporan The Guardian, United menanggung hutang kira-kira £1.2 bilion (RM6.4 bilion), sekali gus mencerminkan cabaran kewangan yang terus membelenggu kelab berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Eksekutif United, Omar Berrada dan Pengarah Bola Sepak, Jason Wilcox dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Ratcliffe di Monaco, Rabu lalu bagi membincangkan masa depan Carrick.
Keputusan memecat pengendali berusia 45 tahun itu kemudian mendapat persetujuan dalam mesyuarat lembaga pengarah yang turut melibatkan keluarga Glazer.
Carrick dipecat semalam selepas United hanya mencatat satu kemenangan daripada 10 perlawanan liga musim ini, sekali gus menyaksikan pasukan itu terperosok ke tangga ke-18 dengan lapan mata.
United kini menghuni tangga ke-18 EPL selepas hanya mengutip lapan mata daripada 10 perlawanan, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap barisan pengurusan kelab.- AGENSI











