KUALA LUMPUR: Cadangan mewajibkan pengisytiharan harta dalam kalangan ahli politik bukan perkara baharu, malah, ia merupakan sebahagian daripada tuntutan reformasi yang sudah lama dibincangkan.
Profesor Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh berkata, namun, persoalan yang wajar ditanyakan kepada Rafizi Ramli ialah mengapa agenda ini hanya kembali dilaungkan ketika kempen pilihan raya negeri?
“Rafizi pernah berada dalam kerajaan, malah mempunyai kedudukan dan ruang untuk memperjuangkan agenda reformasi. Mengapa ketika itu pengisytiharan harta secara menyeluruh tidak dijadikan satu dasar yang wajib dilaksanakan?
“Jangan hanya berani mencabar pihak lain apabila sudah berada di luar Kabinet. Rakyat juga berhak menilai apa yang telah dilakukan ketika mempunyai kuasa, bukan sekadar mendengar apa yang mahu dilakukan selepas ini,” katanya hari ini.

Semalam, Rafizi mencabar Perdana Menteri
dan PH untuk meluluskan peraturan yang mewajibkan semua wakil rakyat mengisytiharkan harta, termasuk komitmen meminda peraturan pilihan raya yang mewajibkan calon-calon yang ingin bertanding mengisytiharkan harta.
Kata Rafizi, jika PH memberi komitmen untuk mengisytiharkan harta dan Kerajaan Madani mengambil langkah berani mengkanunkan syarat pengisytiharan harta sebagai salah satu pembaharuan pilihan raya, keengganan BN dan PN menyokong langkah pengisytiharan harta menguatkan pandangan orang ramai bahawa BN dan PN tidak serius untuk membanteras rasuah politik.
Mengulas lanjut, penganalisis berkata, pengisytiharan harta bukan sekadar mengumumkan jumlah aset kepada umum. Ia mesti disertai mekanisme pengesahan, pemantauan berkala, penelitian sumber kekayaan dan tindakan sekiranya berlaku percanggahan atau pengisytiharan palsu.
Jelasnya, mendakwa tiada kontroversi melibatkan calon Bersama bukan bukti bahawa mekanisme itu sudah cukup berkesan.
“Jika benar serius mahu memperjuangkan ketelusan, kemukakan satu kerangka pelaksanaan yang menyeluruh dan konsisten untuk semua pihak, bukannya menjadikan isu ini sebagai tekanan politik terhadap parti lain menjelang pilihan raya.
“Reformasi tidak sepatutnya bermusim. Ketelusan bukan agenda yang hanya relevan apabila seseorang berada di luar kerajaan,” katanya.
Jelasnya, jangan sampai rakyat melihat reformasi hanya menjadi agenda ketika seseorang kehilangan kuasa, tetapi tidak lagi mendesak apabila diberikan peluang untuk melaksanakannya. – UTUSAN











