MELAKA: Calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Nazri Ramli berhasrat menjadikan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan sukan menerusi pembinaan stadium dan menaik taraf kemudahan sukan sedia ada.
Beliau berkata, pembangunan itu antara agenda yang akan diberi perhatian sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, selain memperkukuh ekonomi peniaga kecil dan pendidikan.
Katanya, penyediaan kemudahan sukan lebih baik mampu membuka ruang kepada penganjuran pelbagai aktiviti dan acara sukan yang berpotensi menarik kehadiran pengunjung ke Lendu.
“Antara yang saya nampak perlu ada ialah stadium di Lendu dan kemudahan sukan yang perlu dinaik taraf.
“Kita mahu membawa sukan pelancongan masuk ke Lendu terlebih dahulu kerana saya yakin dengan pengalaman serta akses yang ada, perkara itu mampu dilaksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas cabaran meneruskan legasi penyandang kerusi yang juga bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, Nazri berkata, pengalaman bekerjasama dengan Sulaiman membolehkannya memahami pendekatan pentadbiran terdahulu.
Katanya, beliau berhasrat meneruskan usaha Sulaiman dengan memberi beberapa penambahbaikan tanpa melakukan perubahan besar terhadap perkara yang sudah dilaksanakan.
“Saya sudah biasa dengan kerja dan pengurusan yang dibuat oleh Ketua Menteri sebelum ini. Saya tidak kekok dan akan meneruskan legasi pemerintahan serta cara pentadbiran beliau.
“Apa yang beliau lakukan itu baik, cuma perlu ditambah baik sedikit,” katanya.
Nazri berkata, pengalamannya berada dalam komuniti setempat membolehkannya memahami keperluan penduduk, selain memudahkan usaha mendekati pengundi.
Katanya, beliau turut menerima pelbagai pandangan dan cadangan daripada penduduk yang sudah mengenalinya kerana sering berada di kawasan berkenaan.-UTUSAN











