KUANTAN: Kesukaran mencari individu yang boleh dipercayai untuk menjaga kucing peliharaan ketika bercuti menyebabkan ramai pemilik haiwan berkenaan terpaksa membatalkan perancangan atau membawa haiwan kesayangan mereka bersama.
Menyedari keperluan itu, seorang pencinta kucing, Nur Alia Farisha Samsudin, 24, mengambil inisiatif menawarkan perkhidmatan penjagaan haiwan atau ‘petsitter’ bagi membantu pemilik kucing meninggalkan kediaman dengan lebih tenang.
Lebih mesra disapa Yaya, dia berkata, idea mengusahakan perkhidmatan itu juga tercetus daripada pengalamannya yang berdepan kesukaran mencari penjaga untuk 27 ekor kucing peliharaannya setiap kali mahu pulang ke kampung atau bercuti.
Menurutnya, daripada pengalaman itu, dia terfikir untuk menawarkan khidmat sama kepada pemilik haiwan lain yang menghadapi masalah serupa, selain dapat mendekati pelbagai jenis kucing yang sememangnya menjadi kegemarannya.
“Alhamdulillah, perkhidmatan ini ternyata sangat diperlukan dan mendapat sambutan menggalakkan, terutama ketika musim perayaan dan cuti persekolahan yang lama.
“Saya akan pastikan, pemilik kucing tidak lagi perlu bersusah payah mengangkut kucing mereka ke tempat lain atau meminta bantuan ahli keluarga dan kenalan untuk menjaganya.
“Malahan saya sendiri akan datang ke rumah mereka mengikut tarikh dan masa yang sudah ditempah ,” katanya yang ditemui Utusan Malaysia ketika melakukan perkhidmatan ‘petsitter’ di sebuah rumah di Taman Guru, dekat sini, hari ini.
Yaya berkata, ramai pelanggan mengakui perkhidmatan itu banyak membantu dan melegakan mereka kerana tidak lagi perlu risau tentang kebajikan kucing sepanjang ketiadaan di rumah.
Malah, katanya, terdapat pelanggan yang sebelum ini terpaksa membawa sehingga 15 ekor kucing dari Kuantan ke Negeri Sembilan setiap kali pulang bercuti kerana tiada individu yang boleh membantu mereka menjaga haiwan berkenaan.
“Lazimnya perkhidmatan yang dilakukan petsitter merangkumi pemberian makanan dan minuman, membersihkan bekas makanan serta pasir najis, memastikan kebersihan kawasan kucing, selain meluangkan masa bermain dan memantau keadaan haiwan berkenaan.
“Tempahan biasanya meningkat ketika musim cuti panjang dan perayaan, malah minggu lalu saya menerima banyak permintaan bersempena cuti Deepavali apabila pelanggan mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung atau melancong,” katanya.
Pada peringkat awal, Yaya menguruskan semua tempahan seorang diri sebelum ibunya, Noraini Mohd Dom, 54, turut membantu apabila permintaan semakin meningkat. Dia juga mempunyai seorang pekerja sokongan yang boleh dipanggil sekiranya mereka pula yang perlu bekerja di luar kawasan.- UTUSAN











