Berbuat baik kepada ibu bapa adalah antara ajaran utama di dalam agama Islam. Allah SWT dalam al-Quran telah mewajibkan setiap muslim dan muslimah untuk berbuat baik kepada ibu dan ayah serta berbakti kepada mereka berdua.
Sebagai contoh Allah SWT berfirman di dalam surah al-Isra’ ayat ke-23-24 yang bermaksud: Tuhanmu telah menetapkan bahawa janganlah kalian menyembah kecuali Dia dan berbuat baik terhadap ibu ayah dengan sebenar-benarnya. Sekiranya salah seorang daripada mereka berdua atau kedua-duanya sudah mencapai usia tua di sisimu, maka janganlah kamu berkata: Uf (iaitu dengusan suara yang menunjukkan rasa tidak berpuas hati kepada mereka berdua) dan janganlah kamu mengherdik mereka.
Sebaliknya bercakaplah dengan mereka dengan ucapan yang mulia. Rendahkanlah demi mereka berdua akan sayap kehinaan daripada rahmat dan sebutlah: Tuhanku, rahmatilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua membesarkanku saat daku masih kecil.
Bukan sekadar ayat al-Quran di atas, bahkan ada lagi ayat-ayat yang lain yang mewajibkan kita berbuat baik kepada ibu bapa. Bahkan Rasulullah SAW selaku penunjuk pedoman buat kita turut melafazkan sabdaan-sabdaan suci baginda yang meminta kita agar menyayangi, menghormati dan memuliakan ibu bapa.
Lalu, datanglah para ulama yang menghimpunkan hadis-hadis khusus dalam memperkenalkan manusia akan sabdaan baginda yang menjurus ke arah bakti yang tulus terhadap ibu bapa.
Antaranya kitab Birrul Walidayn yang bermaksud Berbuat Baik Kepada Kedua Ibu Ayah yang disusun oleh al-Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari yang begitu terkenal dengan kitab Sahih al-Bukhari.
Karya yang hampir hilang
Sekalipun al-Imam al-Bukhari lebih masyhur dengan kitab Sahih al-Bukhari, beliau juga turut menghasilkan pelbagai karya bermutu yang lain untuk dipersembahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW.
Antara kitab lain karangan beliau adalah Qadhoya al-Sohabah Wa al-Tabi‘in Wa Aqowilihim (kitab ini tidak dijumpai), Kitab al-Adab al-Mufrad (kitab yang mendedahkan 1322 hadis mengenaiadab) dan kitab Birril Walidayn.
Kitab Birril Walidayn pada asalnya adalah antara kitab yang tersebar luas dalam kalangan masyarakat sehingga ia dibacakan dan diriwayatkan dengan sanad yang bersambung sehingga sampai al-Imam Muhammad bin Ahmad bin Dalluyah (boleh juga disebut: Dilluyah) al-Daqqaq yang mendengar langsung kitab ini daripada al-Imam al-Bukhari.
Sebagai contoh al-Imam al-Hafiz Abdul Karim bin Muhammad bin Mansur al-Sam‘aniy yang wafat pada tahun 562 hijriah telah mendengar isi kandung kitab ini daripada gurunya; Abu Bakr: Muhammad bin Ahmad bin al-Husayn al-Naysaburiy yang telah meriwayatkannya daripada Ibnu Khalaf, daripada Abu Ya‘la al-Muhallabiy, daripada Ibnu Dalluyah yang telah mendengar langsung daripada al-Imam al-Bukhari.
Selain beliau, al-Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalaniy turut mendengar kitab ini daripada seorang ulama wanita yang bernama Fatimah binti al-Munajja dan daripada Abu al-Hasan; Ali bin Muhammad bin Abu al-Majd.
Kedua-dua guru al-Imam Ibnu Hajar ini telah meriwayatkan kitab Birril Walidayn daripada Abu ‘Abdillah: Muhammad bin Ahmad bin Abu al-Hayja’ bin al-Zarrad, daripada ‘Ali bin Yusuf al-Suriy, daripada Zaynab binti ‘Abdul Rahman, daripada ‘Umar dan ‘Aishah yang kedua-duanya adalah anak kepada Ahmad bin Mansur al-Saffar.
‘Umar menyatakan yang beliau meriwayatkan kitab ini daripada Abu Bakr: Ahmad bin Ali bin Khalaf manakala ‘Aishah pula menyatakan bahawa beliau meriwayatkan kitab ini daripada Muhammad bin Isma‘il al-Taflisiy.
Kedua-dua mereka iaitu Abu Bakr: Ahmad bin Ali bin Khalaf dan Muhammad bin Isma‘il al-Taflisiy telah meriwayatkan kitab ini daripada guru mereka berdua iaitu Abu Ya‘la: Hamzah bin ‘Abdul ‘Aziz al-Muhallabiy yang telah meriwayatkannya daripada Abu Bakr: Muhammad bin Ahmad bin Dalluyah yang telah mendengar kitab ini secara langsung daripada al-Imam Muhammad bin Ismail al-Bukhari.
Sekalipun kitab ini sangat tersebar suatu ketika dahulu, namun manuskrip-manuskrip bagi kitab ini tidak lagi ditemui pada hari ini kecuali hanya satu manuskrip yang disimpan oleh al-Marhum Fadhilat al-Syeikh al-Sayyid Abdul Hayy al-Kattaniy.
Manuskrip yang sangat bernilai ini telah disalin oleh salah seorang murid al-Imam Syamsuddin Muhammad bin ‘Abdul Rahman bin Muhammad al-Sakhowiy iaitu Muhammad bin Muhammad bin Mansur bin ‘Aliy al-Husainiy al-Halabiy (lahir pada 10 Safar 863 hijrah) dan selesai disalin pada Selasa 28 Syawal tahun 887 hijriah bersamaan 19 Disember 1482 Masehi di bahagian atap Masjid al-Azhar al-Syarif di Kaherah.
Melalui manuskrip yang sudah mencecah usia 543 tahun inilah kitab Birril Walidayn karya al-Imam al-Bukhariy mula dicetak pada era moden dan mula disebarkan bermula pada tahun 2014 oleh Maktabah al-Imam al-Bukhariy yang disalin dan disemak oleh Syeikh ‘Abdul ‘Ati Muhyi al-Syarqawiy. Seterusnya dicetak pula oleh Dar al-Dzakha’ir pada tahun 2018 yang disalin dan disemak oleh Syeikh ‘Abdul Aziz Hilmi Makkiy.
Sekilas Mengenai Kitab Birrul Walidayn
Al-Imam al-Bukhari di dalam kitab Birrul Walidayn telah mendatangkan 68 hadis Rasulullah SAW dengan tambahan lapan kenyataan sahabat dan para ulama lalu menjadikan jumlah seluruh hadis Rasulullah SAW dan kenyataan para ulama di dalam kitab ini berjumlah 76 teks.
Seperti Sahih al-Bukhari, al-Bukhari juga di dalam kitab Birrul Walidayn tidak mendatangkan sebarang mukadimah sebaliknya beliau terus mendatangkan hadis yang pertama.
Namun, perbezaan ketara antara dua kitab ini adalah al-Imam al-Bukhari tidak menjadikan sebarang bab bagi hadis-hadis yang ada di dalam kitab Birrul Walidayn sedangkan beliau telah mendatangkan pula bab-bab yang pelbagai bagi 7658 hadis yang ada di dalam Sahih al-Imam al-Bukhari.
Antara perbezaan jelas antara dua kitab ini juga adalah wujud hadis daif di dalam kitab Birrul Walidayn sedangkan hadis yang didatangkan oleh al-Imam al-Bukhari di dalam Sahih beliau adalah hanya hadis yang berstatus sahih.
Ini menunjukkan bahawa al-Imam al-Bukhari seperti para ulama yang lain tidak mempunyai masalah dengan periwayatan hadis daif apabila ia bertujuan untuk menyatakan kelebihan atau bahaya sesuatu perbuatan dalam keadaan status hukum perbuatan-perbuatan tersebut telah dibuktikan dengan hadis yang sahih atau hasan.
Maka, disebabkan kita sudah mengetahui akan kewajipan berbuat baik kepada ibu bapa, al-Imam al-Bukhari mahu menggalakkan lagi kita berbuat baik kepada kedua-duanya dengan penulisan satu kitab khusus yang mendatangkan pelbagai hadis sama ada sahih atau tidak yang tujuannya adalah untuk menyatakan kelebihan berbuat baik kepada ibu bapa serta ancaman menderhakai kedua-dua mereka.
Thulathiyyat yang tersendiri
Ada satu kelebihan yang jelas dilihat di dalam kitab Birrul Walidayn iaitu beberapa hadis Thulathiyyat yang dimasukkan sekali di dalam kitab Birrul Walidayn.
Thulathiyyat bermaksud hadis yang jumlah perawi yang menghubungkan seorang ulama hadis dengan Rasulullah SAW hanyalah tiga orang.
Ini menjadi satu kebanggaan ulama hadis pada zaman al-Imam al-Bukhari kerana hanya ada tiga orang sahaja yang menghubungkan mereka dengan sabdaan Rasulullah SAW sedangkan kebiasaannya jumlah perawi yang menghubungkan mereka dengan Rasulullah SAW adalah adalah empat orang bahkan lebih.
Ini juga menjadi satu harapan agar sebagaimana mereka hampir dengan Rasulullah SAW daripada sudut jumlah perawi, semoga mereka juga akan menjadi orang yang hampir dengan Rasulullah SAW di syurga kelak.
Al-Imam al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari ada mendatangkan sebanyak 22 hadis Thulathiyyat. Menerusi kitab Birrul Walidayn pula, al-Imam al-Bukhari telah mendatangkan dua hadis Thulathiyyat yang kedua-duanya tidak ada di dalam Sahih al-Imam al-Bukhari.-UTUSAN
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.











