Hakim ikrar pertahan Lendu

Hakim ikrar pertahan Lendu

ABDUL Hakim Abdul Wahid (tengah) bersama pengundi pada program ceramah pilihan raya di Kampung Lendu Dalam, Masjid Tanah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

STATUS kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) tidak membuatkan calonnya, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid memandang mudah persaingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16. Kepada wartawan Utusan Malaysia, Amirul Aiman Osman, Ab­dul Hakim berkongsi gerak kerja untuk mempertahankan Len­du yang disifatkan bukan tu­gas mudah.

Memuatkan artikel berkaitan…

 

UTUSAN: Sejauh mana kawasan Lendu sudah dijelajahi?

ABDUL HAKIM: Kempen telah bergerak bersama jentera BN serta Perikatan Nasional (PN) di DUN Lendu dalam keadaan yang baik. Segala perancangan dan gerak kerja telah disusun. Setakat ini, saya anggarkan kira-kira 80 peratus kawasan sudah dilawati kerana masih ada beberapa tempat yang belum sempat saya kunjungi. Insya-Allah, saya akan cuba menyelesaikan baki lawatan dalam tempoh hari terakhir kempen ini.

 

Apa isu utama yang dibangkitkan penduduk?

Aduan yang diterima berbe­za-beza dan merangkumi pelbagai aspek. Antaranya berkaitan pembangunan, sosioekonomi ser­ta masalah di kawasan taman perumahan yang melibatkan pi­hak berkuasa tempatan (PBT). Setiap kawasan mempunyai ke­perluan tersendiri dan perkara itu saya dapat lihat sepanjang turun padang bertemu serta menyantuni pengundi.

 

Pendekatan menyelesaikan masalah penduduk sekiranya diberikan mandat?

Sekiranya diberikan mandat, saya akan mula mengatur dan menyusun segala aduan yang diterima sepanjang tempoh kempen untuk diselesaikan secepat mungkin. Saya mahu tindakan dapat dilaksanakan pada peringkat paling awal yang mampu, tanpa meninggalkan aduan yang telah dikumpulkan. Bagaimanapun, segala usaha pe­nyelesaian itu memerlukan ker­­jasama daripada semua pihak.

 

Lendu dikenali sebagai ku­bu kuat BN. Kelebihan atau caba­ran?

Cabaran paling utama tentunya untuk mengekalkan keme­nangan BN di DUN Lendu. Ia bu­kan satu perkara yang mudah kerana setiap calon yang bertanding mempunyai kekuatan tersendiri. Calon yang ber­tanding menentang saya juga mempunyai kekuatan mereka. Jadi, saya tidak melihat per­tandingan ini sebagai satu laluan mudah kerana ia melibat­kan hati pengundi. Walau bagai­ma­napun, saya amat berharap penduduk Lendu akan membuat pilihan yang tepat dan memberikan kepercayaan kepada BN.

 

Sebagai pemimpin muda, apa kelainan ditawarkan kepada pengundi khususnya golo­ngan belia?

Saya tidak membentangkan ma­nifesto khusus di atas kertas, sebaliknya memberikan ja­minan untuk menawarkan khid­mat bakti dan usaha menjaga serta menyejahterakan rak­yat DUN Lendu. Sebagai Ketua Pemuda UMNO negeri dan Bahagian Masjid Ta­nah, saya memahami aspirasi serta keperluan golongan muda yang merangkumi pelbagai bidang termasuk sukan, pendidikan, pembangunan ekonomi dan sosial. 

Saya melihat peluang yang diberikan oleh kepemimpinan untuk menjadi calon bukan sebagai satu kesilapan, sebaliknya cabaran, amanah dan tanggungjawab besar yang perlu digalas sebaik mungkin.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini