PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Aaron Tai-Yap Roy King membuktikan eksperimen ketua jurulatih, Herry Iman Pierngadi ke atas mereka benar-benar berbaloi apabila gandingan itu terus mempamerkan prestasi konsisten pada Jelajah Dunia BWF.
Pasangan No. 57 dunia itu menjadi wakil tunggal Malaysia mara ke suku akhir selepas mengejutkan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani 21-14, 21-15 dalam masa 28 minit pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Jepun Masters di Kumamoto, Jepun, semalam.
Kemenangan tersebut merupakan kejayaan sulung Aaron-Roy King ke atas beregu No. 5 dunia itu, sekali gus membolehkan mereka mendahului rekod pertemuan 1-0.
Aaron-Roy King akan menghitung pertemuan dengan beregu No. 15 dunia, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dari Taiwan pada suku akhir, hari ini.
Belum sampai dua bulan sejak digandingkan bersama, Aaron-Roy King sudahpun memiliki satu gelaran pada Terbuka Arctic di Vantaa, Finland pada awal Oktober lalu.
Kemaraan ke suku akhir, mencerahkan peluang beregu itu memburu gelaran kedua yang sekali gus membolehkan mereka mengumpul mata sebanyak mungkin bagi membantu menaikkan ranking ke dalam kelompok 32 terbaik dunia.
“Kami mahu meningkatkan ranking terlebih dahulu menjelang penghujung tahun ini supaya dapat beraksi pada Terbuka Malaysia tahun depan. Itu sasaran kami buat masa ini,” kata Roy King.
Jika berjaya berbuat demikian, kejohanan berstandard Super 1,000 itu bakal memberi cabaran sebenar buat Aaron-Roy King jika mereka menyimpan hasrat memburu tiket Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan gandingan campuran, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing tewas kepada lawan masing-masing.
Wei Chong-Kai Wun yang merupakan pasangan No. 9 dunia masih belum mampu menghakis prestasi yo-yo mereka apabila tunduk kepada beregu No. 14 dunia, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark 15-21, 18-21 dalam masa 34 minit.
Turut menerima nasib serupa adalah beregu campuran profesional Malaysia, Pang Ron-Pei Jing yang buat kali ketiga berturut-turut tumpas di tangan gandingan No. 2 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China 12-21, 19-21 dalam masa 33 minit.-UTUSAN











