BESUT: Bergelumang dengan lumpur, meredah paya bakau serta terpaksa berdepan ancaman haiwan berbisa bukan penghalang buat dua sahabat menjadikan kawasan berkenaan sebagai lubuk rezeki memburu udang pusu.
Bagi Mohd. Azuan Mahadi, 31, dan Mat Shahrul Izwan Mat Ghani, 39, dari Kampung Seberang Limbongan, pada awalnya makanan laut itu dicari untuk dimakan sendiri selain mencari ketam nipah untuk dijual.
Mohd. Azuan berkata, mereka tidak pernah mengetahui kewujudan udang berkenaan sehinggalah menemukannya secara tidak sengaja ketika mencari hasil laut di kawasan paya bakau.
Menurutnya, minat untuk mencari udang itu semakin mendalam selepas melihat hidangan berkenaan ketika berkunjung ke Indonesia kira-kira dua tahun lalu.
“Abang ipar pernah meminta saya mencari udang ini untuk dijadikan ubat lelah, tetapi ketika itu saya sendiri tidak pernah makan atau tahu cara mendapatkannya.
“Selepas pulang dari Indonesia, saya mula mencari sendiri untuk dimakan sebelum belajar teknik menangkapnya daripada seorang rakan di negara berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurut Mohd. Azuan, bermula dengan hanya memperoleh tiga hingga empat ekor sehari ketika mula mencuba pada 2024, usaha mereka kini membuahkan hasil apabila mampu mengumpul sehingga 15 hingga 16 kilogram udang pusu sehari.
Katanya, mereka menggunakan kaedah memasukkan air kapur sirih ke dalam lubang atau pusu yang menjadi habitat udang berkenaan sebelum menunggu kira-kira satu hingga dua jam sehingga haiwan itu keluar.
“Kami biasanya mula mencari sekitar pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari dan perlu menunggu air surut kerana agak sukar mendapatkan udang ketika air pasang besar.
“Walaupun nampak mudah, kami perlu menghabiskan kira-kira lima jam sehari di kawasan paya bakau untuk mendapatkan hasil yang banyak,” katanya.
Jelasnya, hasil tangkapan yang diperoleh kini mampu mencecah kira-kira 100 kilogram seminggu dan mendapat permintaan pelanggan dari seluruh negara menerusi jualan dalam talian.
Tambahnya, udang berkenaan dijual pada harga RM25 hingga RM30 sekilogram bergantung kepada saiz dan mampu memberikan hasil jualan kasar sehingga mencecah RM1,000 sehari apabila tangkapan banyak.
Sementara itu, Mat Shahrul Izwan berkata, pelanggan luar Terengganu turut membuat tempahan, namun penghantaran memerlukan penggunaan bekas gabus dan ais bagi memastikan udang kekal segar sepanjang perjalanan.
“Kos penghantaran agak mahal kerana kami perlu menggunakan gabus dan ais, tetapi permintaan pelanggan tetap menggalakkan,” katanya. – UTUSAN











