KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bakal menyiarkan dokumentari khas berjudul Merintis Legasi: 75 Tahun Berbakti demi Ahli dan Negara sempena sambutan ulang tahun ke-75 penubuhannya.
Dokumentari itu dijadualkan bersiaran menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 16 November ini, pukul 1.30 petang, manakala Astro AWANI pada 21 November, pukul 8.30 malam.
Penerbitan berkenaan menelusuri perjalanan KWSP sejak ditubuhkan pada 1 Oktober 1951 menerusi rakaman arkib, peristiwa penting serta perkongsian pengalaman bekas dan pemimpin semasa institusi itu.
Ketua Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP, Nursyahida Abdullah berkata, idea menghasilkan dokumentari itu tercetus ketika institusi berkenaan dalam persiapan menerbitkan buku meja kopi sempena ulang tahun ke-75 penubuhannya.
“Dokumentari itu dihasilkan bagi mengetengahkan kisah di sebalik perjalanan KWSP yang selama ini lebih banyak dikaitkan dengan angka dan statistik, selain memberi gambaran mengenai sumbangannya kepada kehidupan rakyat.
“Penghasilan dokumentari itu turut mendapat sokongan kakitangan lama KWSP yang berkongsi pengetahuan serta pengalaman institusi bagi memastikan fakta sejarah dan maklumat yang dipaparkan tepat,” katanya semasa pra-tonton dokumentari itu di sini.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif dan Pengarah Tangerine Films, Bobby Husaini berkata, cabaran utama penerbitan dokumentari itu adalah merangkumkan sejarah KWSP selama 75 tahun dalam tempoh tayangan hanya 23 minit.
“Pasukan produksi mengambil pendekatan mengetengahkan kisah manusia dan pengalaman individu yang menerima manfaat daripada peranan KWSP, selain memaparkan perspektif warga kerja institusi berkenaan.
“Dokumentari itu turut menampilkan lakonan semula kisah sebenar berkaitan KWSP dengan membabitkan kakitangan dalaman tanpa menggunakan pelakon profesional.
“Proses penerbitan turut memerlukan penelitian rapi terhadap bahan arkib dan fakta sejarah bagi memastikan setiap maklumat yang disampaikan tepat serta berasaskan fakta,” katanya.
Dokumentari tersebut turut mengimbas pelbagai keputusan, perkembangan dan pencapaian yang membentuk KWSP sepanjang 75 tahun operasinya dalam memenuhi keperluan pekerja serta menyokong pembangunan negara.
Sempena ulang tahun berkenaan, KWSP turut melancarkan syiling peringatan dan buku khas ‘The EPF Story’ (Lakaran Legasi KWSP) yang merakamkan kisah individu, detik penting serta sumbangan yang membentuk institusi itu sepanjang tujuh dekad lalu.-UTUSAN











