PETALING JAYA: Seramai 112 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari benua Afrika serta seorang majikan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan tahun ini setakat 31 Oktober lalu
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, daripada jumlah itu warga Nigeria mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu seramai 53 orang, diikuti oleh Uganda (13), Kenya (10), dan Ghana (8).
Katanya, tangkapan selebihnya melibatkan warga Somalia (6), Tanzania (6), Senegal (4), Algeria (3), Burkina Faso (2), Togo (2), Gambia (2), serta masing-masing seorang dari Guinea, Zimbabwe, dan Libya.
“Kesalahan utama yang direkodkan adalah masuk dan berada di negara ini tanpa pas atau permit yang sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang mencatatkan sebanyak 85 tangkapan dengan 47 daripadanya merupakan warga Nigeria.
“Bagi kesalahan tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c) akta yang sama seramai 23 individu telah ditahan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Selain itu, katanya, tiga individu ditahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas manakala seorang warga Nigeria ditahan atas kesalahan memiliki dokumen palsu di bawah Seksyen 56(1)(l).
Dalam tempoh sama, pihak berkuasa turut menahan seorang majikan warganegara Algeria di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja asing tanpa pas yang sah.
“Operasi penguatkuasaan berterusan ini mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam membanteras kehadiran PATI serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan yang melindungi atau menggaji mereka,” tegasnya. – UTUSAN











