MITI teliti undang-undang kawal pergerakan cip GPU

MITI teliti undang-undang kawal pergerakan cip GPU

DATUK Seri Johari Abdul Ghani pada sidang media pelancaran Aplikasi mudah alih Sistem Peruntukan Saham Khas Bumiputra versi 3.0 di Dewan Perdana Menara MITI semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang meneliti peruntukan undang-undang sedia ada bagi memperketat kawalan eksport semula cip unit pemprosesan grafik (GPU) yang tertakluk kepada sekatan eksport Amerika Syarikat (AS), sekali gus mengelakkan Malaysia dijadikan lokasi transit untuk memintas sekatan berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan sedang mengenal pasti peruntukan undang-undang yang boleh digunakan bagi mengawal pergerakan cip berkenaan, khususnya bagi memastikan Malaysia tidak menjadi saluran untuk mengeksport semula teknologi yang tertakluk kepada sekatan AS.

Katanya, penelitian itu susulan sekatan eksport yang diperkenalkan AS, sekali gus memerlukan pemantauan lebih rapi terhadap pergerakan dan penggunaan cip semikonduktor berteknologi tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita mahu memastikan cip yang tiba di negara ini digunakan untuk kegunaan sendiri, contohnya bagi operasi pusat data tempatan.

“Jika syarikat menggunakan Malaysia sebagai lokasi untuk membawa masuk GPU sebelum mengeksportnya semula, sedangkan cip berkenaan tidak digunakan di sini, perkara itu perlu diberi perhatian,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran aplikasi mudah alih Sistem Peruntukan Saham Khas Bumiputera (SPSKB) Versi 3.0 di sini semalam.

Beliau berkata, kerajaan sedang meneliti sama ada undang-undang sedia ada boleh digunakan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang terbabit dalam transaksi sedemikian.

“Pihak pengeksport, khususnya dari AS, juga perlu bertanggungjawab memastikan penghantaran cip GPU ke Malaysia disertakan dokumentasi tepat, termasuk maklumat syarikat penerima dan destinasi penggunaan,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan Malaysia boleh memberikan pengesahan sekiranya pihak pengeksport memerlukan kepastian mengenai destinasi dan tujuan penggunaan cip berkenaan, termasuk lokasi pusat data yang akan menggunakannya.

“Jika mereka mahu mengeksport ke negara kita, mereka perlu memastikan penghantaran itu mempunyai dokumen yang betul, termasuk syarikat dan pihak penerima yang sepatutnya.

“Kerajaan boleh mengesahkan GPU berkenaan adalah untuk pusat data kita, termasuk lokasi pusat data itu,” katanya.

Mengulas sama ada penelitian berkenaan mempunyai kaitan dengan kontroversi membabitkan Nvidia, Johari berkata, kerajaan mengambil langkah menilai semula pergerakan cip GPU susulan sekatan eksport AS.

Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan siasatan terhadap syarikat tempatan, Speedmatrix Sdn. Bhd. dan Megaspeed International dari Singapura berhubung operasi pusat data, beliau berkata tindakan hanya boleh dipertimbangkan sekiranya terdapat kesalahan atau pelanggaran peraturan.

Katanya, sekiranya syarikat berkenaan mengimport GPU untuk kegunaan sendiri dalam operasi pusat data dan tidak melakukan sebarang kesalahan, tiada asas untuk tindakan diambil terhadap mereka.

“Jika tiada apa-apa kesalahan dan mereka membeli GPU untuk kegunaan sendiri di pusat data, saya tidak nampak undang-undang apa yang perlu digunakan. Namun, jika terdapat sekatan terhadap pengeksportan semula GPU, perkara itu perlu diteliti semula,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini