Rosli pertaruh rekod, bukan janji bulan, bintang di Kuala Linggi

Rosli pertaruh rekod, bukan janji bulan, bintang di Kuala Linggi

ROSLI Abdullah (kanan) menyantuni orang ramai sewaktu berkempen pilihan raya di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Calon Barisan Na­sional (BN) kerusi Dewan Un­dangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah tidak gentar berdepan cabaran calon muda Pakatan Harapan (PH), Muhammad Mukhlisul Mu­bin Julasapiyah yang merupa­kan juara pidato antarabangsa.

Ini kerana Rosli yakin rekod kerja selama empat tahun menjadi senjata paling ampuh untuk mempertahankan kerusi berke­naan.

Penyandang kerusi itu berkata, beliau tidak mahu membalas cabaran politik dengan retorik semata-mata, sebaliknya menyerahkan kepada rakyat un­tuk menilai sendiri sejauh ma­na amanah yang diberikan ke­padanya sejak memenangi ke­rusi itu pada Pilihan Raya Ne­geri (PRN) Melaka 2021 telah dilaksanakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada PRN Melaka kali ini, Rosli berdepan pertandingan ti­ga penjuru dengan Muhammad Mukhlisul Mubin dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Dr. Nur Farhana Hamzah.

Bagi Rosli, kekuatan seseorang calon bukan sekadar kehebatan berpidato atau kemampuan menyampaikan kata-kata di atas pentas, sebaliknya rakyat yang menentukan siapa yang mampu bekerja dan membawa perubahan kepada kawasan.

“Kalau sepanjang saya dipi­lih sebagai Ahli Dewan Unda­ngan Negeri saya tidak me­laksanakan tugas dengan baik dan tidak menunaikan tang­gungjawab kepada rakyat, mereka berhak menghukum sa­ya.

“Namun, alhamdulillah, saya percaya rakyat boleh melihat sendiri usaha dan kerja yang te­lah kita lakukan selama ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rosli berkata, beliau tidak me­mandang rendah terhadap mana-mana calon kerana setiap individu mempunyai kekuatan dan pendekatan tersendiri da­lam memikat hati pengundi.

Katanya, pilihan raya bukan sekadar gelanggang untuk mem­buat janji atau melontarkan kata-kata yang sedap dide­ngar, sebaliknya medan rakyat me­nilai rekod perkhidmatan dan keupayaan calon menyelesaikan masalah.

Beliau yang lebih selesa dipanggil ‘Cikgu’ berkata, pende­katan turun padang dan hidup dekat dengan masyarakat akan te­rus menjadi prinsipnya andai diberikan mandat untuk penggal baharu.

“Saya lebih selesa dipanggil Cikgu kerana itu diri saya. Jawatan adalah sementara dan kita tidak boleh lupa siapa diri kita apabila diberikan kedudukan.

“Kalau jawatan menyebabkan kita jauh daripada rakyat dan lupa diri, akhirnya semua itu tidak membawa apa-apa mak­na,” katanya.

Mengulas agenda yang mahu diteruskan di Kuala Linggi, Rosli berkata, kebajikan masyarakat nelayan akan kekal menjadi keutamaan kerana golongan itu berdepan cabaran besar untuk mencari rezeki.

Katanya, tidak seperti pekerjaan lain yang mempunyai pendapatan lebih tetap, nelayan bergantung kepada hasil laut dan cuaca, malah ada kalanya terpaksa pulang dengan tangan kosong selepas mengeluarkan kos minyak dan tenaga.

“Sebab itu kita tidak boleh hanya melihat mereka ketika musim pilihan raya. Kebajikan dan kehidupan nelayan perlu sentiasa diperjuangkan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini