PETALING JAYA: Penurunan harga minyak mentah dunia dijangka memberi kesan bercampur kepada ekonomi Malaysia apabila penjimatan kos subsidi bahan api berpotensi mengimbangi penyusutan hasil petroleum kerajaan.
Hal ini kerana Malaysia mempunyai kepentingan dalam sektor minyak dan gas, namun kedudukannya sebagai pengeksport gas asli cecair (LNG) dan pengimport bersih minyak mentah menyebabkan perubahan harga minyak dunia memberi kesan berbeza terhadap perdagangan negara.
Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, penurunan harga minyak dijangka memperlahankan aktiviti sektor perlombongan, namun pada masa sama memberi manfaat kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan menerusi pengurangan kos input serta tenaga.
Menurutnya, pergerakan harga minyak sejak kebelakangan ini lebih banyak dipengaruhi perubahan sentimen pasaran terhadap perkembangan geopolitik berbanding perubahan ketara dalam permintaan dan penawaran minyak global.
“Harapan terhadap rundingan damai di Asia Barat serta usaha mencapai gencatan senjata dalam konflik Rusia-Ukraine mendorong pelabur mengurangkan premium risiko geopolitik yang sebelum ini menyokong kenaikan harga minyak.
“Bagaimanapun, ketegangan di rantau berkenaan masih belum reda sepenuhnya, termasuk isu keselamatan perkapalan di Selat Hormuz yang terus menjadi kebimbangan pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, penurunan harga ketika ini lebih mencerminkan penyusutan premium risiko geopolitik dan bukannya petunjuk bahawa bekalan minyak global sudah kembali mencukupi atau permintaan merosot secara mendadak.
“Malah, kos penghantaran dan insurans kapal melalui Selat Hormuz masih tinggi, sekali gus menunjukkan pasaran tenaga belum benar-benar pulih daripada ketidaktentuan konflik,” katanya.
Mengulas kesan terhadap ekonomi negara, beliau berkata, penurunan harga minyak berpotensi memperlahankan aktiviti sektor perlombongan, namun pada masa sama memberi manfaat kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan menerusi pengurangan kos input serta tenaga.
Pada 2025, negara mencatatkan defisit perdagangan minyak mentah sebanyak RM30.4 bilion, manakala lebihan dagangan keseluruhan sebanyak RM18.2 bilion disokong lebihan LNG berjumlah RM45.4 bilion.
Penurunan harga minyak boleh memperlahankan aktiviti sektor perlombongan, tetapi pada masa sama memberi manfaat kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan menerusi pengurangan kos input serta tenaga.
Dari sudut fiskal, perubahan harga minyak turut memberi kesan kepada hasil petroleum kerajaan, termasuk dividen Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Dalam pada itu, Aimi Zulhazmi berkata, berdasarkan andaian Belanjawan 2027, hasil berkaitan petroleum diunjurkan berjumlah RM61.2 bilion atau 16.1 peratus daripada keseluruhan hasil negara, termasuk dividen Petronas sebanyak RM32 bilion.
“Setiap kenaikan AS$1 (RM4.08) harga Brent dianggarkan meningkatkan hasil petroleum kerajaan sekitar RM300 juta setahun, tetapi pada masa sama menambah kos subsidi sehingga RM1.05 bilion setahun.
“Ini bermakna peningkatan harga minyak boleh menyebabkan pendedahan fiskal bersih kerajaan bertambah kira-kira RM750 juta bagi setiap AS$1 (RM4.08) setong, berdasarkan anggaran tersebut,” katanya.
Ketika krisis Selat Hormuz memuncak pada April 2026, bil subsidi bahan api bulanan dilaporkan meningkat daripada sekitar RM700 juta pada Januari dan Februari kepada RM7.5 bilion pada April.
Keadaan itu menunjukkan harga minyak yang terlalu tinggi bukan semestinya menguntungkan kerajaan kerana peningkatan hasil petroleum boleh diatasi oleh pertambahan kos subsidi.
Dalam pada itu, paras harga minyak sekitar AS$75 (RM305.85) hingga AS$85 (RM346.63) setong dilihat lebih seimbang untuk kepentingan Malaysia, dengan AS$80 (RM326.24) setong sebagai titik tengah.
“Paras berkenaan dilihat mampu membantu kerajaan mengawal perbelanjaan subsidi sambil mengekalkan hasil petroleum pada tahap munasabah, selain membolehkan Petronas meneruskan pelaburan dalam sektor huluan dan peralihan tenaga.
“Harga yang terlalu rendah pula boleh menjejaskan kemampuan syarikat minyak membiayai projek baharu, khususnya pembangunan medan laut dalam yang memerlukan kos modal tinggi,” katanya.-UTUSAN











