ECRL: Gombak ke Kota Bharu kini hanya empat jam - Utusan Malaysia

ECRL: Gombak ke Kota Bharu kini hanya empat jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pengalaman menaiki tren Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Terminal Bersepadu Gombak ke Kota Bharu memberikan gambaran baharu mengenai potensi perkhidmatan rel itu sebagai penghubung utama Lembah Klang dengan Pantai Timur.

Menerusi program Familiarisation Trip (FAM Trip) Jelajah Landasan ECRL: Nadi Baharu Pantai Timur anjuran Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), pengamal media berpeluang merasai sendiri pengalaman perjalanan menggunakan tren berkenaan, selain mendapatkan penerangan mengenai perkembangan projek serta kemudahan disediakan.

Perjalanan sehari yang bermula seawal jam 7 pagi itu turut memberi peluang kepada peserta meninjau fasiliti dalam tren, menikmati pemandangan sepanjang laluan serta merasai tahap keselesaan perjalanan yang ditawarkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Wartawan dari China, Yan Shu, 42, menyifatkan pengalaman menaiki ECRL sebagai sesuatu yang mengagumkan, terutama dari segi penjimatan masa perjalanan berbanding menggunakan jalan raya.

Beliau berkata, berdasarkan pengalamannya sebelum ini, perjalanan melalui jalan raya mengambil masa kira-kira lapan jam, berbanding sekitar empat jam menggunakan tren berkenaan.

“Perjalanan ini memberikan pengalaman berbeza kerana saya masih boleh menjalankan tugasan seperti temubual dan rakaman sepanjang perjalanan, selain menikmati pemandangan dari dalam tren.

“Berbanding pengalaman perjalanan sebelum ini, ia satu perbezaan yang sangat ketara,” katanya.

Shu yang sudah empat tahun bekerja di Malaysia berkata, pelaksanaan projek ECRL juga membuka ruang kepada perkembangan industri perkhidmatan rel negara, khususnya menerusi penggunaan kemudahan dan teknologi yang boleh dijadikan rujukan.

Beliau berkata, ECRL adalah permulaan kepada usaha memperkukuh sistem pengangkutan rel negara dan berharap kemudahan itu dapat memberikan pengalaman perjalanan lebih mudah kepada orang ramai pada masa hadapan.

“Saya percaya sistem perkhidmatan rel Malaysia akan terus berkembang dan berharap lebih ramai dapat menikmati perjalanan yang lebih mudah serta selesa menerusi kemudahan seperti ini,” katanya.

Sebelum ini, ECRL sudah memulakan operasi percubaan dari 7 November hingga 2 Disember, sekali gus menandakan fasa terakhir kesediaan operasi bagi perkhidmatan penumpang komersial, yang disasarkan bermula pada 12 Disember ini.

Sementara itu, pengamal media, Muhammad Naim Aziz, 47, berkata pengalaman menaiki ECRL memberikan perspektif berbeza berbanding perkhidmatan tren lain, khususnya dari segi laluan yang menghubungkan Lembah Klang dengan Pantai Timur melalui Banjaran Titiwangsa.

Beliau berkata, kemudahan dan reka bentuk tempat duduk dalam tren berkenaan turut memberikan keselesaan, terutama bagi perjalanan jarak jauh.

“Perjalanan jauh memerlukan keselesaan, terutama dari segi ruang kaki dan kedudukan tempat duduk. Saya melihat ECRL menawarkan ruang yang selesa untuk penumpang.

“Tempat duduk yang disediakan juga boleh diputar 360 darjah, membolehkan penumpang duduk berhadapan antara satu sama lain, sekali gus lebih sesuai untuk keluarga atau kumpulan yang menaiki tren bersama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini