Sembilan jenama automotif berhimpun di EON Auto Finale 2026

Sembilan jenama automotif berhimpun di EON Auto Finale 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), anak syarikat DRB-HICOM Berhad, menawarkan rebat sehingga RM100,000 menerusi penganjuran EON Auto Finale 2026 yang menghimpunkan sembilan jenama automotif di bawah satu bumbung.

EON Auto Finale pada 14 dan 15 November ini diadakan di ibu pejabat EON, Glenmarie, Shah Alam menampilkan pelbagai promosi hujung tahun melibatkan Proton, Proton e.MAS, smart, Mitsubishi, Isuzu, Audi, Volkswagen, Hyundai dan Zeekr.

Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, penganjuran acara itu bukan sekadar menawarkan harga menarik, malah menyediakan kemudahan dan penyelesaian pemilikan kenderaan secara menyeluruh kepada pelanggan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pelanggan kini bukan sahaja mencari tawaran terbaik, tetapi turut mengutamakan pilihan, kemudahan dan keyakinan sepanjang proses pemilikan kenderaan.

“Melalui ekosistem menyeluruh EON, kami bukan sekadar menjual kereta, sebaliknya menyediakan ketenangan fikiran kepada pelanggan sepanjang perjalanan pemilikan kenderaan,” katanya dalam kenyataan.

Bertemakan ‘Make Your Move’, EON Auto Finale 2026 turut menawarkan pelbagai promosi terhad daripada jenama dan perkhidmatan yang mengambil bahagian.

Pengunjung berpeluang melihat dan membandingkan pelbagai model kenderaan, selain menikmati pandu uji serta mendapatkan maklumat mengenai pilihan pembiayaan dan penyelesaian pemilikan kenderaan.

Selain kenderaan baharu, acara itu turut mempamerkan pilihan kereta terpakai daripada Avis dan armada milik EON yang diselenggara serta menjalani servis secara berkala.

Pelanggan juga boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan sokongan termasuk pembiayaan pembelian kenderaan dan jaminan lanjutan menerusi Tras, perkhidmatan penyewaan kereta Avis dan Budget Malaysia, insurans daripada EON Insurance serta penjagaan kenderaan menerusi EON AutoSpa.

Bagi memeriahkan acara, 300 pelanggan terawal yang mendaftar berpeluang menerima ganjaran awal termasuk 10 hadiah premium berupa kamera papan pemuka (dashcam) bernilai RM300 setiap satu.

Pengunjung yang layak dan membuat pendaftaran kehadiran di lokasi acara juga berpeluang memenangi hadiah segera.

Sementara itu, pelanggan yang membuat tempahan kenderaan di cawangan EON terpilih di seluruh negara sepanjang tempoh kempen berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM20,000.

“Tiga pemenang turut berpeluang menikmati pengalaman pemanduan eksklusif di Litar Antarabangsa Sepang, termasuk sesi pemanduan di litar bersama pemandu profesional.

“Antara rakan strategik yang turut mengambil bahagian ialah Puspakom yang akan berkongsi maklumat mengenai perkhidmatan pemeriksaan kenderaan, Bank Muamalat menerusi kad kredit Muamalat EON serta Modenas yang mempamerkan motosikal Kawasaki dan MODENAS berserta peluang pandu uji,” katanya.

Selepas acara di Glenmarie, kempen itu akan diteruskan menerusi EON Auto Finale 2026 Edisi Pulau Pinang pada 21 dan 22 November ini di bilik pameran EON Auto Mart Bayan Lepas.

Edisi berkenaan menampilkan model dan promosi terpilih daripada Proton, Mitsubishi, Hyundai, Audi dan Isuzu, selain perkhidmatan penyewaan kenderaan oleh Avis Budget Malaysia.

Orang ramai boleh mendaftar untuk mendapatkan ganjaran awal serta maklumat lanjut mengenai acara itu menerusi laman web www.eon.com.my.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini