Lipis terima peruntukan infrastruktur RM1.83b, LTU pacu rangkaian pengangkutan - Utusan Malaysia

Lipis terima peruntukan infrastruktur RM1.83b, LTU pacu rangkaian pengangkutan

WAN Rosdy Wan Ismail dan Alexander Nanta Linggi secara bersama melakukan gimik perasmian projek LTU Pakej 3 di Lipis hari ini. - UTUSAN/ SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Daerah Lipis menerima peruntukan pembangunan infrastruktur berjumlah RM1.83 bilion, tertinggi berbanding daerah lain di Pahang, sekali gus mencerminkan tumpuan kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan kemudahan pengangkutan di kawasan berkenaan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu membuktikan komitmen Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memperkukuh jaringan jalan raya serta kemudahan infrastruktur di daerah berkenaan.

Beliau berkata, pembinaan jalan dan jambatan baharu Seberang Jelai-Relong menerusi projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) menjadi antara kemudahan penting yang akan memendekkan perjalanan penduduk, selain memudahkan pergerakan ke Kelantan, Kuala Lumpur dan destinasi lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Projek ini bermula daripada permohonan Kerajaan Negeri Pahang yang membawa keperluan pembangunan jalan berkenaan kepada kerajaan Persekutuan sebelum diluluskan peruntukan untuk dilaksanakan.

“Tanpa kelulusan dan peruntukan kewangan Kerajaan Persekutuan, projek ini tidak mungkin menjadi kenyataan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Projek LTU Seksyen 3J Simpang Jalan-Kampung Relong yang disempurnakan bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di sini hari ini.

Menurutnya, pembangunan jaringan pengangkutan di Pahang kini turut diperkukuh menerusi pengoperasian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijadual bermula 12 Disember ini, dengan perjalanan dari Kuantan ke Gombak mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit.

Katanya, walaupun jajaran ECRL tidak meliputi Lipis dan Raub, kewujudan LTU akan membantu menghubungkan penduduk di kawasan berkenaan ke Bentong bagi mendapatkan akses kepada perkhidmatan rel tersebut.

Selain itu, pembangunan Bandar Aeroangkasa di Gebeng yang dijangka mengambil masa lapan hingga 10 tahun untuk disiapkan serta pembesaran Pelabuhan Kuantan turut menjadi sebahagian daripada perancangan memperkukuh rangkaian pengangkutan darat, udara dan laut di negeri ini.

Beliau berkata, peningkatan kemudahan pengangkutan penting bagi menyokong aktiviti ekonomi, termasuk sektor pertanian, industri dan pelancongan, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini