KUALA LUMPUR: Pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) belum sesuai ketika ini kerana sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada sudah mampu menjana hasil hampir setara dengan kutipan GST pada 2017.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican, berkata kutipan SST kini bersamaan kira-kira 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), hampir menyamai sumbangan GST ketika dilaksanakan sebelum ini.
Katanya, perbandingan itu menunjukkan pelaksanaan semula GST pada kadar sama seperti dahulu tidak semestinya meningkatkan hasil kerajaan berbanding SST.
Sebaliknya, kadar GST mungkin perlu ditetapkan lebih tinggi jika kerajaan mahu memperoleh tambahan hasil yang lebih besar, sekali gus memberikan kesan kepada perbelanjaan dan kuasa beli rakyat.
Beliau berkata, peralihan daripada SST kepada GST juga berpotensi mengalihkan sebahagian beban cukai yang kini ditanggung sektor korporat, termasuk pengeksport, kepada pengguna.
“Pada masa ini, kerajaan berpandangan belum sesuai untuk melaksanakan GST kerana antara keutamaan dalam Belanjawan 2027 adalah meningkatkan pendapatan rakyat, mengambil kira kos sara hidup yang masih menjadi cabaran utama.
“Kita tidak mahu membebankan rakyat sebelum tahap pendapatan mereka berada pada paras yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi ‘The Big Picture: Budget 2027, Economic Priorities and Malaysia’s Next Growth Chapter’ sempena Forum TaxMax Ke-52, di sini, hari ini.
Johan berkata, usaha meningkatkan pendapatan rakyat menjadi antara fokus kerajaan menerusi langkah seperti kenaikan gaji minimum dan peluasan pelaksanaan gaji progresif dalam sektor swasta.
Ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global turut menjadi pertimbangan kerajaan untuk tidak melakukan perubahan besar terhadap sistem percukaian penggunaan pada masa ini.
Pada masa sama, katanya, kerajaan MADANI kekal komited melaksanakan pembaharuan fiskal secara berperingkat, termasuk mengurangkan defisit dan mengawal paras hutang negara.
Defisit fiskal berkurangan daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada lima peratus pada 2023, sebelum turun kepada 4.1 peratus pada 2024 dan 3.7 peratus pada 2025.
Kerajaan menyasarkan defisit terus dikurangkan kepada 3.3 peratus menerusi Belanjawan 2027, sebelum mencapai sasaran tiga peratus pada 2028.
“Dari segi hutang negara berbanding KDNK, nisbah itu mencatatkan 65.2 peratus pada akhir 2025 dan diunjurkan menurun kepada 64 peratus menjelang akhir tahun ini sebelum terus dikurangkan pada tahun depan,” katanya.
Berdasarkan Belanjawan 2027, nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK diunjurkan turun lagi kepada 63.7 peratus pada 2027.
Johan berkata, pembaharuan fiskal perlu dilaksanakan tanpa menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi, kadar pengangguran dan usaha memperkukuh pendapatan isi rumah.
Malaysia melaksanakan GST pada kadar enam peratus mulai 1 April 2015. Cukai itu ditetapkan pada kadar sifar mulai 1 Jun 2018 sebelum SST diperkenalkan semula pada 1 September tahun sama.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Socio-Economic Research Centre (SERC), Lee Heng Guie, berkata kerajaan boleh mempertimbangkan kadar GST sekitar empat peratus jika mahu memperkenalkan semula cukai berkenaan.
Heng Guie berkata, empat peratus dianggarkan sebagai kadar neutral hasil, iaitu kadar yang mampu menghasilkan kutipan hampir sama dengan SST semasa tanpa meningkatkan beban cukai keseluruhan secara mendadak.
Katanya, kadar itu lebih sesuai sebagai permulaan berbanding enam peratus yang dikenakan sebelum ini, selain memberikan isyarat lebih positif kepada pengguna.
Pelaksanaan GST, katanya, mempunyai kelebihan menerusi mekanisme kredit cukai input dan output yang membolehkan perniagaan menuntut semula cukai di sepanjang rantaian bekalan.
Mekanisme itu boleh mengurangkan kesan cukai bertindih yang akhirnya dipindahkan kepada pengguna melalui harga barangan dan perkhidmatan.
“Jika kerajaan memperkenalkan semula GST, kadar empat peratus boleh menjadi kadar neutral hasil.
“Ini bermakna kerajaan boleh memulakannya pada kadar lebih rendah sebelum mempertimbangkan sebarang kenaikan secara berperingkat, bergantung kepada keadaan ekonomi dan perniagaan,” katanya.
Bagaimanapun, Heng Guie berkata, GST perlu disertai perlindungan kepada golongan berpendapatan rendah, termasuk menetapkan barangan keperluan asas pada kadar sifar dan meneruskan bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah.
Katanya, kerajaan juga perlu memastikan masalah kelewatan bayaran balik cukai yang pernah menjejaskan aliran tunai perusahaan kecil dan sederhana tidak berulang.
Beliau turut mengingatkan bahawa sistem hibrid yang menggabungkan ciri SST dan GST boleh meningkatkan kerumitan pematuhan, khususnya kepada perniagaan kecil, jika tidak dirangka dengan teliti serta melalui proses libat urus menyeluruh.
Sebarang perubahan sistem percukaian, katanya, perlu berasaskan prinsip kecekapan kutipan hasil, keadilan dan ketelusan.-UTUSAN











