EcoWorld, NS Corp kaji penyelesaian bekalan air industri di Negeri Sembilan

EcoWorld, NS Corp kaji penyelesaian bekalan air industri di Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Eco World Development Group Berhad (EcoWorld) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan NS Corporation (NS Corp) bagi meneroka potensi kerjasama dalam pembangunan penyelesaian bekalan air industri untuk taman perindustrian kendalian EcoWorld di Negeri Sembilan.

Kerjasama itu merangkumi Eco Business Park VII (EBP VII) serta taman perindustrian lain yang berpotensi dibangunkan EcoWorld di negeri berkenaan pada masa hadapan.

Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi menilai potensi pembangunan loji rawatan air penyahgaraman sebagai sumber alternatif dan tambahan kepada bekalan air industri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Inisiatif berkenaan bertujuan mempercepat pembangunan infrastruktur air bagi memenuhi keperluan sektor perindustrian yang semakin berkembang, selain meningkatkan daya saing Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan pembuatan bernilai tinggi dan teknologi, termasuk pusat data,” katanya dalam kenyataan. 

NS Corp merupakan badan berkanun yang ditubuhkan bagi mempromosikan, merangsang, mengurus dan menyelaras pelaburan serta sektor ekonomi di Negeri Sembilan, termasuk pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0).

Dalam pada itu, Negeri Sembilan merekodkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM41.5 bilion dari 2023 hingga Jun 2026, dengan pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang RM24.2 bilion atau 58 peratus, manakala pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM17.3 bilion atau 42 peratus.

“Sebahagian besar pelaburan itu tertumpu di MVV 2.0 yang kini berkembang sebagai antara koridor perindustrian paling pesat membangun di Malaysia.

“Pertumbuhan kawasan itu didorong kedudukannya yang berhampiran Lembah Klang, harga tanah yang kompetitif, penambahbaikan infrastruktur serta pengembangan asas perindustrian,” katanya. 

Sementara itu, EBP VII yang terletak di kawasan MVV 2.0 mencatatkan jualan kira-kira RM2 bilion dalam tempoh kurang setahun sejak dilancarkan pada November 2025.

“Permintaan terhadap projek berkenaan kekal memberangsangkan dengan pertanyaan berterusan diterima daripada pelabur domestik dan asing.

“Kerjasama itu turut mencerminkan peluang baharu bagi sektor awam dan swasta untuk mempercepat pembangunan infrastruktur bekalan air bagi kegunaan industri di Negeri Sembilan,” katanya. 

Tambahnya, pembangunan sumber air alternatif menerusi teknologi penyahgaraman dijangka dapat menyokong keperluan bekalan air taman perindustrian EcoWorld, sekali gus memperkukuh daya saing projek berkenaan dalam menarik pelaburan baharu.

MoU itu berkuat kuasa selama setahun dengan pilihan untuk dilanjutkan bagi tempoh seterusnya tertakluk kepada persetujuan bersama kedua-dua pihak.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini