KUALA LUMPUR: Gerakan koperasi negara perlu memperluas penglibatan dalam rantaian bekalan dan meneroka pasaran bernilai tinggi bagi meningkatkan daya saing serta memperkukuh sumbangan sektor itu kepada pembangunan ekonomi negara.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Saidatu Akhma Hassan berkata, koperasi tidak lagi boleh bergantung kepada model perniagaan tradisional yang tertumpu kepada pengumpulan hasil, peruncitan berskala kecil dan aktiviti ekonomi konvensional.
Beliau berkata, perubahan landskap ekonomi global, termasuk penyusunan semula rantaian bekalan, perkembangan teknologi dan perubahan iklim, menuntut koperasi menilai semula kedudukan serta peranan mereka dalam ekonomi masa hadapan.
“Sudah tiba masanya untuk kita melangkah jauh daripada ukuran pertumbuhan tradisional. Koperasi sektor pertanian perlu meneroka pasaran bernilai tinggi menerusi pemprosesan dan penjenamaan sendiri, manakala koperasi kewangan serta pengguna perlu menguasai ekonomi digital.
“Misi kita adalah untuk melonjakkan koperasi daripada sekadar peserta ekonomi kepada penyumbang berimpak tinggi,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Meja Bulat Koperasi Antarabangsa 2026 (ICR 2026) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, koperasi juga perlu memperkukuh kerjasama strategik bagi mengatasi kekangan kapasiti, khususnya dalam kalangan koperasi kecil yang masih beroperasi secara bersendirian dan mempunyai akses terhad kepada pasaran lebih besar.
Menurutnya, koperasi pertanian boleh menggabungkan pengeluaran, berkongsi kemudahan logistik serta menyelaraskan pemasaran bagi meningkatkan keupayaan tawar-menawar dan mengurangkan kekangan operasi.
“Koperasi lebih besar pula boleh membuka peluang kepada koperasi kecil menerusi kerjasama teknikal, perolehan dan akses pasaran, sekali gus membolehkan mereka mencapai skala ekonomi yang lebih baik melalui kekuatan kolektif,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, dasar pembangunan koperasi perlu memberi penekanan lebih besar terhadap penyertaan sektor itu dalam rantaian bekalan utama, perolehan awam serta kerjasama strategik dengan syarikat korporat besar.
Katanya, pendekatan pembangunan koperasi juga perlu disepadukan dengan aspek pembiayaan, pembangunan perniagaan, teknologi, akses pasaran dan keupayaan institusi bagi memastikan sokongan yang diberikan menghasilkan perniagaan mampan.
“Pembiayaan tanpa akses pasaran mungkin tidak mewujudkan perniagaan yang mampan, manakala latihan tanpa peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan baharu mungkin mempunyai kesan yang terhad.
“Pelaburan teknologi tanpa strategi perniagaan yang sesuai pula boleh meningkatkan kos dan bukannya menghasilkan nilai,” katanya.
Tambahnya, kejayaan sektor koperasi tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah koperasi yang ditubuhkan atau program yang dilaksanakan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira peningkatan pendapatan anggota, produktiviti perniagaan, penyertaan pasaran dan daya tahan ekonomi.
Mengulas aspek pendigitalan, Saidatu Akhma berkata, penggunaan kecerdasan buatan (AI), analitik data dan platform digital berpotensi membantu koperasi meningkatkan kecekapan operasi, membuat ramalan permintaan serta memperluas capaian pelanggan.
“Bagaimanapun, penggunaan teknologi perlu berpandukan keperluan perniagaan, kemampuan kewangan, kemahiran serta perlindungan kepentingan dan data anggota,” katanya.
Dalam pada itu, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) perlu terus memperkukuh pendidikan, latihan dan penyelidikan menerusi pendekatan yang menghubungkan pembelajaran dengan cabaran sebenar perniagaan koperasi.
“Ini penting untuk memberi ruang kepada golongan muda untuk memperkenalkan idea baharu, membangunkan perusahaan dan terlibat dalam menentukan hala tuju gerakan koperasi,” katanya. -UTUSAN











