KUALA LUMPUR: Syarikat tempatan, Glide Technology Sdn. Bhd. (GLIDE) memperluas perniagaannya ke sektor huluan minyak dan gas di Angola menerusi kerjasama dengan syarikat tenaga negara itu, Etu Energias S.A.
Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) bagi meneroka peluang perniagaan sepanjang rantaian nilai huluan minyak dan gas melalui platform usaha sama, Etu Glide Energy Sdn. Bhd.
Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kerjasama itu membuktikan keupayaan syarikat tempatan Malaysia membina jaringan perdagangan dan mengembangkan perniagaan ke pasaran antarabangsa.
“GLIDE berpotensi menjadi contoh kepada syarikat tempatan lain untuk meneroka peluang perniagaan di luar negara, khususnya dalam industri minyak dan gas.
“Kehadiran saya pada majlis ini juga mencerminkan sokongan kerajaan Sabah terhadap kerjasama berkenaan serta usaha GLIDE mengembangkan operasinya di negeri itu,” katanya pada majlis menandatangani MoA itu di Menara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), di sini semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, GLIDE turut merancang memperkenalkan produk pelincir tempatan, Kinabalu Lubricants, untuk pasaran Borneo dan negara anggota BIMSTEC pada bulan depan.
Ewon berkata, langkah itu memperlihatkan keupayaan syarikat tempatan membangunkan produk sendiri untuk pasaran serantau, selain menembusi pasaran antarabangsa termasuk Asia dan Afrika.
“Usaha seperti itu wajar diperluas kepada lebih banyak syarikat tempatan bagi meningkatkan penyertaan Malaysia dalam perdagangan antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, Pengasas dan Presiden Kumpulan GLIDE, Datuk Muhazli Muhamad berkata, kerjasama dengan Etu Energias yang bermula pada 2021 itu pada awalnya tertumpu kepada perniagaan hiliran, khususnya pembekalan minyak pelincir.
“Perkembangan kerjasama tersebut membuka ruang kepada kedua-dua syarikat untuk meneroka peluang lebih luas dalam sektor minyak dan gas, termasuk di Malaysia dan Angola.
“Pada peringkat awal, kami bekerjasama dalam perniagaan hiliran menerusi produk minyak pelincir. Hari ini, kami melangkah ke peringkat seterusnya dengan meneroka peluang dalam sektor huluan.
“Kami berharap kerjasama ini terus berkembang dan berjaya, bukan sahaja di Malaysia, malah di benua Afrika,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Etu Energias, Edson Dos Santos berkata, pengalaman bekerjasama dalam sektor hiliran menjadi asas kepada keputusan syarikat itu memperluas kerjasama dengan GLIDE ke sektor huluan.
“Etu Energias melihat keupayaan kejuruteraan dan pengalaman GLIDE sebagai kekuatan untuk membangunkan perniagaan tenaga yang lebih bersepadu.
“Etu Energias turut melihat peluang meneroka aset minyak dan gas matang di Malaysia, selain memanfaatkan kepakaran tenaga kerja tempatan untuk menyokong operasi di Angola.
“Visi kami adalah untuk membangunkan sebuah syarikat tenaga bersepadu. GLIDE mempunyai kekuatan dalam sektor hiliran dan kami percaya gabungan kepakaran kedua-dua syarikat dapat membantu mencapai matlamat itu,” katanya.
Menerusi usaha sama berkenaan, Etu Energias akan menyumbangkan pengalaman serta kehadiran operasinya di Angola, manakala GLIDE menyediakan kepakaran dalam perkhidmatan kejuruteraan, marin dan tenaga.
Platform Etu Glide Energy akan digunakan untuk menilai, menyusun struktur dan membangunkan peluang perniagaan dalam sektor huluan.-UTUSAN











