Badan pemikir perlu dasar dalaman AI

Badan pemikir perlu dasar dalaman AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Komuniti badan pemikir dan institusi penyelidikan di negara ini menggariskan keperluan mendesak untuk mewujudkan dasar dalaman kecerdasan buatan (AI) serta mempelbagaikan sumber pendanaan bagi memperkukuh integriti dan kemampanan sektor berkenaan.

Resolusi tersebut dicapai menerusi Malaysia Think Tank Forum 2026: Room to Think yang menghimpunkan lebih 40 badan pemikir dari seluruh negara buat julung kalinya, anjuran PNB Research Institute (PNBRI), Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) serta On Think Tanks (OTT).

Menerusi sesi perbincangan kumpulan yang memfokuskan kepada teras AI generatif, kepercayaan institusi, pembangunan bakat dan pembiayaan, peserta bersetuju bahawa garis panduan minimum yang seragam amat penting bagi mengawal selia penggunaan serta pendedahan AI dalam penyelidikan dasar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain aspek tadbir urus teknologi, komuniti penyelidik turut menekankan keperluan membina kepercayaan awam berasaskan kompetensi dan keaslian, di samping meneroka kepelbagaian sumber dana melalui kerjasama strategik sektor awam, swasta dan filantropi.

Pengerusi PNBRI, Hanizan Hood berkata, himpunan julung kali itu menjadi platform penting dalam menyatukan kepakaran dan kepelbagaian pandangan badan pemikir tempatan berdepan perubahan landskap penyelidikan semasa.

“Hari ini adalah tentang mewujudkan ruang untuk semua pihak berkumpul dan berkongsi perspektif masing-masing. Forum ini merupakan satu langkah penting ke arah membina platform yang berterusan bagi pertukaran pandangan serta meneroka peluang kerjasama,” katanya dalam kenyataan. 

Forum tersebut dimulakan dengan perkongsian pandangan global oleh Pengasas dan Pengarah OTT, Enrique Mendizabal, diikuti ucaptama oleh Ahli Lembaga IDEAS, Tan Sri Dr. Rebecca Fatima Sta Maria.

Mengulas mengenai hubungan antara penggubal dasar dan badan pemikir, Rebecca menekankan bahawa isu-isu semasa kini semakin saling berkait rapat dan mencabar kerangka penggubalan dasar tradisional.

“Kerajaan memerlukan institusi yang bukan sahaja mampu menjelaskan cabaran terdahulu, tetapi membantu menjangkakan cabaran masa hadapan.

“Namun, perkara ini memerlukan usaha kedua-dua pihak. Badan pemikir perlu memahami realiti dan kekangan yang dihadapi kerajaan, manakala kerajaan pula perlu sentiasa terbuka kepada pandangan yang diusulkan,” ujarnya.

Komuniti badan pemikir turut bersetuju untuk memperkukuh rangkaian antara institusi bagi meluaskan impak penyelidikan, selain menetapkan komitmen untuk bertemu semula pada tahun 2027.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini