Avaland bawa MYDIN, San Francisco Coffee ke Cybersouth

Avaland bawa MYDIN, San Francisco Coffee ke Cybersouth

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Avaland Berhad memperkukuh pembangunan ekosistem komersial di perbandaran Cybersouth menerusi kemasukan tiga jenama baharu iaitu MYDIN, San Francisco Coffee dan Maplewood International School di Meria Commercial Hub (Meria).

Kemasukan jenama berkenaan dijangka meningkatkan daya tarikan komersial Meria selain menyediakan kemudahan peruncitan, makanan dan minuman (F&B) serta pendidikan yang lebih menyeluruh kepada penduduk Cybersouth dan kawasan sekitarnya.

MYDIN Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), antara rangkaian peruncitan dan pemborongan tempatan terbesar negara, akan bertindak sebagai penyewa utama di Meria, sekali gus menandakan pembukaan cawangan milik sendiri pertamanya di kawasan Lembah Klang Selatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu, San Francisco Coffee akan memperluas pilihan F&B, manakala Maplewood International School melengkapkan penawaran komersial menerusi penyediaan kemudahan pendidikan untuk keluarga yang menetap di perbandaran itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Avaland Berhad, Apollo Bello Tanco berkata, kemasukan rakan niaga baharu itu mencerminkan komitmen syarikat untuk membangunkan sebuah perbandaran yang mempunyai ekosistem komersial lengkap dan mampu memenuhi keperluan harian penduduk.

Beliau berkata, penambahan itu turut memperluas pilihan peruncitan, F&B, kesihatan, kecantikan dan pendidikan di Cybersouth, sekali gus meningkatkan potensi Meria sebagai hab kejiranan.

“Penambahan rakan niaga ini memperluas pilihan perkhidmatan kepada penduduk serta komuniti lebih luas di kawasan Lembah Klang Selatan,” katanya dalam kenyataan.

Selain tiga jenama baharu itu, Meria bakal menerima kehadiran beberapa penyewa lain termasuk FamilyMart, kafe Meokja dan Watsons.

Meria merupakan komponen utama dalam pembangunan perbandaran Cybersouth seluas 417 ekar, dengan keluasan pembangunan komersial 20 ekar dan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM370 juta.

Fasa pertama Meria mencatatkan kadar pengambilan 100 peratus, manakala Fasa kedua hampir mencapai 60 peratus, mencerminkan minat pelabur dan pengusaha perniagaan terhadap pembangunan berkenaan.

Pembangunan itu merangkumi 190 unit kedai dua muka dengan hak milik individu yang ditawarkan pada harga bermula RM1.6 juta.

Meria turut disasarkan untuk memenuhi keperluan lebih 650,000 isi rumah dalam lingkungan radius 10 kilometer, dengan konsep hab komersial berpusat bagi mendekatkan kemudahan peruncitan, makanan dan perkhidmatan asas kepada penduduk.

Sementara itu, Avaland turut membangunkan The Island @ Cybersouth, destinasi berkonsepkan alam semula jadi seluas 40 ekar yang berteraskan tasik seluas 37 ekar, selain dilengkapi kawasan landskap, laluan rekreasi dan aktiviti luar.

Permintaan terhadap pembangunan kediaman di Cybersouth juga kekal memberangsangkan menerusi Avalon, fasa terakhir pembangunan rumah bertanah di perbandaran itu.

Avaland turut merancang memperkenalkan projek baharu dalam pelan induk Cybersouth tahun depan bagi memenuhi perubahan permintaan pasaran.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini