NARATHIWAT (THAILAND): Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) mengutuk sekeras-kerasnya serangan terhadap orang awam, khususnya kanak-kanak, dalam siri keganasan di Wilayah Satun, Yala dan Songkhla, sejak kelmarin.
Timbalan jurucakap ISOC 4, Kolonel Ekwarit Chobchuphol berkata, insiden keganasan sehingga menyusahkan dan mencederakan orang awam, terutama pelajar sekolah sebagaimana berlaku di Wilayah Satun pada Ahad dan Isnin, tidak sepatutnya berlaku.
Menurutnya, serangan ganas tanpa mengira motif atau alasannya menggunakan bahan letupan buatan sendiri (IED) menjejaskan kehidupan dan keselamatan orang ramai.
“Serangan yang menjejaskan kanak-kanak dan orang awam yang tidak bersalah bukan sahaja menyebabkan kerugian dan ketakutan kepada pelajar dan keluarga mereka, tetapi juga memberi kesan serius kepada ketenteraman awam.
“Mereka yang terlibat dalam insiden sedemikian mesti disiasat dan dibawa ke muka pengadilan sepenuhnya mengikut undang-undang, tanpa terkecuali,” katanya kepada Utusan Malaysia tanpa merujuk kepada mana-mana kumpulan bersenjata di Selatan Thai.
Namun, beliau percaya siri keganasan itu dilakukan penyokong dan anggota kumpulan pemisah Selatan Thai, bertujuan menunjukkan kekuatan mereka menjelang proses dialog damai yang dijangka disambung semula Disember ini.
Untuk rekod terdapat sekurang-kurangnya empat kumpulan pejuang yang aktif di Selatan Thai iaitu Barisan Revolusi Nasional Melayu Pattani (BRN), Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO), Barisan Pembebasan Islam Patani (BIPP) dan Gerakan Mujahideen Islam Patani (GMIP).
Bagaimanapun, pihak berkuasa sebelum ini percaya keganasan di Selatan Thailand turut melibatkan sindiket penyeludupan dadah.
Ekwarit berkata, dalam insiden di Satun pagi Isnin lalu, lapan pelajar Sekolah Wichianmatu di Wilayah Trang cedera dengan tiga terpaksa dimasukkan ke Hospital Thung Wa, setelah van dinaiki terkena IED yang ditanam di tepi jalan utama. – UTUSAN











