Tahanan rumah Najib uji ketahanan Kerajaan Perpaduan

Tahanan rumah Najib uji ketahanan Kerajaan Perpaduan

ISU tahanan rumah Najib Tun Razak bukan lagi sekadar isu peribadi, sebaliknya berpotensi mengubah percaturan politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENGAH hari kelmarin saya makan di sebuah restoran popular di Alor Setar. Kebetulan bertemu seorang tokoh lama yang cukup dihormati dan berpengaruh.

Ketika saya sedang makan, beliau datang ke meja lalu berkata:

“Apa pi duk berkawan dengan UMNO. Kutip derma pi duk bayaq RM50 juta, baik bagi kat orang susah. Tak boleh percaya kat depa tu. Masa susah depa mau la berkawan…”

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain itu, ada lagi kata-katanya yang tidak sesuai saya catat di ruangan ini.

Saya tidak memberikan sebarang komen. Begitu juga saya tidak mahu mengulas tentang kutipan derma bagi membayar denda bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Cuma, saya teringat tokoh berkenaan suatu ketika dahulu pernah berkhidmat dengan kerajaan ketika UMNO menjadi pemerintah. Hari ini, pandangannya terhadap UMNO sudah begitu berbeza.

Itulah politik. Pendirian boleh berubah mengikut masa dan perkembangan.

Namun, apa yang lebih menarik perhatian saya ialah keputusan membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara kes SRC International secara tahanan di rumah mencetuskan pelbagai ranting isu yang punya banyak cabang.

Daripada orang biasa hinggalah kepada tokoh politik di peringkat tertinggi, masing-masing membentuk kumpulan pandangan tersendiri.

Perkembangan ini bukan sahaja memberikan kesan kepada UMNO, malah turut mengheret Pakatan Harapan (PH), Pas dan Perikatan Nasional (PN) ke dalam perbahasan yang lebih kompleks.

Bagi UMNO dan penyokong Najib, keputusan ini merupakan satu kemenangan moral. Kutipan RM50 juta memperlihatkan Najib masih mempunyai pengaruh dan sokongan yang kuat. 

Namun, ada satu dimensi lain yang tidak boleh diketepikan.

Bagi sebahagian masyarakat Melayu, keputusan membenarkan Najib menjalani baki hukuman di rumah bukan semata-mata soal sokongan, kesetiaan atau simpati terhadap batang tubuh bekas Perdana Menteri itu.

 

KESAN POLITIK MENJANGKAU PUTRAJAYA 

Persoalan yang lebih besar ialah sejauh mana kerajaan mematuhi dan melaksanakan titah serta perintah Yang di-Pertuan Agong berkaitan pengampunan dan tahanan rumah tersebut.

Isu ini akhirnya menyentuh kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong, raja-raja Melayu dan prinsip raja berperlembagaan.

Ada yang melihat kelewatan pelaksanaan titah berkenaan sebagai sesuatu yang lebih besar daripada pertikaian politik biasa. 

Justeru, tidak semua yang mempertahankan hak Najib menjalani baki hukuman di rumah semestinya penyokong atau pembelanya. 

Di sinilah isu Najib menjadi semakin rumit. Ia bukan lagi soal seorang tahanan yang mahu menjalani hukuman di rumah.

Perlu difahami, Najib bukan mendapat pengampunan penuh atau terlepas daripada hukuman. Beliau tetap menjalani baki hukuman penjara, cuma di rumah dan bukannya di penjara. 

Namun, bagi sebahagian masyarakat, tahanan di rumah itu sudah dilihat seperti pembebasan.

Walau apa pun kesalahan yang telah disabitkan ke atasnya, sebahagian penyokong tetap menganggap Najib sebagai Perdana Menteri yang lebih baik daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah lebih banyak berjasa kepada rakyat. Justeru sokongan diberi  lebih bersifat simpati, kesetiaan dan penghargaan terhadap legasi pentadbirannya.

Perkembangan ini turut memberikan ruang kepada Pas dan PN untuk memainkan isu hubungan PH-UMNO. 

Lebih daripada itu, sentimen simpati terhadap Najib berpotensi menjadi jambatan untuk mendekatkan sebahagian penyokong UMNO dengan Pas dan PN. Jika berkembang, ia boleh mempengaruhi percaturan politik Melayu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Bagi PH, khususnya DAP, perkembangan ini merupakan satu tamparan politik yang kuat. Mereka selama ini menjadikan perjuangan menentang rasuah dan kleptokrasi sebagai asas perjuangan tetapi kini berada dalam kerajaan bersama UMNO yang masih mempunyai hubungan emosi dan politik dengan Najib.

Peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan pada 10 November memperlihatkan betapa seriusnya percanggahan ini.

Kesemua ini meletakkan Anwar dalam kedudukan yang amat sukar. Beliau perlu mempertahankan hubungan dengan UMNO, pada masa sama tidak boleh mengabaikan sentimen penyokong PH yang mempersoalkan prinsip reformasi yang dilaungkannya sejak September 1998.

Satu lagi perkembangan menarik ialah kedudukan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid sebelum ini memberikan sokongan politik penting kepada Anwar bagi memastikan Kerajaan Perpaduan terus bertahan. 

Namun, sokongan akar umbi UMNO terhadap Najib kini menjadi angkubah yang tidak boleh diketepikan dalam percaturan politik Zahid.

Beliau tidak boleh memisahkan masa depan politiknya daripada sentimen ahli dan penyokong UMNO. Sebab itu, sikap politiknya mutakhir ini dilihat semakin berubah. 

Dalam keadaan sokongan terhadap kerajaan berhadapan pelbagai tekanan, perkembangan isu Najib berpotensi mengembalikan sentimen dan sokongan kepada beliau serta kelompok yang bersimpati dengannya. Kesan politiknya mungkin melangkaui UMNO dan memberikan ruang baharu kepada Pas serta PN.

Saya melihat isu ini boleh menjadi antara ujian terbesar kepada survival politik Kerajaan Perpaduan menjelang PRU16.

PH berhadapan risiko kehilangan sokongan pengundi yang selama ini percaya kepada perjuangan reformasi. UMNO pula perlu mengimbangi kepentingan untuk terus berada dalam kerajaan dengan sentimen akar umbi yang masih kuat terhadap Najib. PN pastinya akan mengambil kesempatan daripada percanggahan ini.

Persoalannya, sejauh mana Anwar mampu mempertahankan kesepakatan PH-BN apabila kepentingan politik dan sentimen penyokong kedua-dua gabungan semakin bercanggah?

Najib sudah tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri. Namun, perkembangan terbaharu ini membuktikan pengaruh politiknya masih menjadi faktor yang perlu diperhitungkan.

Najib menjalani baki hukuman di rumahnya di Langgak Duta tetapi kesan politiknya boleh sampai ke Putrajaya. –UTUSAN

 

PENULIS ialah bekas wartawan selama 25 tahun dan kini Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini