Jurang pendapatan bayangi kemakmuran ekonomi

Jurang pendapatan bayangi kemakmuran ekonomi

PERTUMBUHAN ekonomi mesti turut meningkatkan kesejahteraan pekerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“PERTUMBUHAN ekonomi perlu bersifat menyeluruh dan saksama secara berterusan, memberikan kebaikan kepada semua golongan di bandar besar mahupun kecil dan masyarakat luar bandar. 

“Pada masa sama, kita pelu berusaha lebih gigih bagi memastikan strategi pertumbuhan tidak menjejaskan keindahan alam sekitar atau memburukkan lagi krisis pemanasan global yang kian meruncing.” – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Kebimbangan terhadap jurang yang semakin melebar antara keuntungan korporat dengan pendapatan pekerja kini menjadi persoalan ekonomi paling mendesak di peringkat global. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketidakseimbangan ini bukan sekadar mencerminkan kelemahan pengagihan kekayaan, malah berpotensi mencetuskan krisis kos sara hidup, memperluas jurang sosioekonomi dan  menghakis kepercayaan masyarakat terhadap institusi ekonomi serta dasar kerajaan. 

Apabila pertumbuhan ekonomi tidak lagi dirasai secara saksama, perasaan terpinggir dan dikhianati boleh menyemarakkan ketegangan sosial.

Realiti semasa di Amerika Syarikat (AS) memberikan gambaran jelas tentang fenomena ini. Keuntungan korporat sebagai peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dilaporkan meningkat kepada 15.85 peratus, berbanding sekitar lapan peratus pada 1982.

Sebaliknya, sumbangan perolehan pekerja kepada KDNK merosot daripada 66.6 peratus kepada 61.9 peratus dalam tempoh yang sama. Jurang ini memperlihatkan bagaimana peningkatan keuntungan tidak semestinya diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan pekerja pada kadar yang setimpal.

Lebih membimbangkan, ketidakpuasan hati terhadap keadaan ekonomi kini semakin diterjemahkan kepada bantahan awam di pelbagai negara. Demonstrasi jalanan berkaitan kos sara hidup direkodkan di 31 negara Eropah antara pertengahan September hingga akhir Oktober 2026. 

Di Perancis, Itali, Sepanyol, Portugal dan Belgium, ratusan ribu peserta menuntut peningkatan gaji, tindakan terhadap kenaikan kos sara hidup, perumahan mampu milik serta penambahbaikan perkhidmatan awam.

Bahkan, demonstrasi besar-besaran sebegini turut disertai kesatuan pekerja dan pelajar yang membantah tekanan kos kehidupan serta kemerosotan pasaran kerja. Perkembangan ini menunjukkan  ketidakpuasan ekonomi bukan lagi isu terpencil, sebaliknya semakin menjadi tuntutan sosial yang merentasi sempadan negara.

Tekanan kewangan bagi rakyat kebanyakan untuk menampung keperluan asas seperti makanan, elektrik, penjagaan kesihatan, perumahan dan penjagaan anak terus membebani isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana. 

Perkembangan kecerdasan buatan (AI) generatif serta ketidaktentuan perdagangan antarabangsa turut menambahkan keresahan pekerja, khususnya apabila sesetengah syarikat menggunakan potensi automasi sebagai alasan membekukan pengambilan atau mengurangkan tenaga kerja sebelum peningkatan produktiviti sebenar direalisasikan.

Persoalannya, sejauh manakah pemimpin di Malaysia mampu belajar daripada teladan di luar dan mengelakkan negara daripada terjerumus dalam pola ketidakseimbangan yang sama? 

Dalam konteks inilah Belanjawan 2027 perlu dinilai bukan sekadar berdasarkan angka peruntukan dan sasaran fiskalnya, tetapi juga keupayaannya memastikan hasil pertumbuhan ekonomi dinikmati secara lebih adil.

Pengumuman Belanjawan 2027 yang memperuntukkan RM510 bilion dengan sasaran defisit fiskal sebanyak 3.3 peratus antara lain menarik perhatian melalui cadangan menaikkan kadar gaji minimum kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, di samping memperkenalkan penanda aras gaji RM2,500 bagi graduan dan pekerja separa mahir.

Langkah ini memperlihatkan kesediaan kerajaan menangani persoalan graduan terpelajar tanpa kerja dan isu besar mengenai pengagihan pendapatan yang seimbang.

 

PERTUMBUHAN EKONOMI MESTI DIRASAI PEKERJA 

Pekerja tidak seharusnya sekadar menjadi penyumbang kepada keuntungan syarikat tanpa menerima pulangan munasabah daripada pertumbuhan perniagaan yang mereka jayakan. 

Berlandaskan fahaman ini, dasar gaji minimum tidak wajar dilihat sebagai instrumen kebajikan semata-mata, tetapi turut berperanan sebagai mekanisme pengagihan hasil pertumbuhan ekonomi.

Namun, keberanian memperkenalkan dasar ini perlu disusuli pertimbangan realistik terhadap kemampuan sektor perniagaan, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). 

PKS masih berhadapan margin keuntungan terhad, peningkatan kos bahan mentah serta tekanan aliran tunai. Kenaikan gaji minimum dan penanda aras gaji baharu boleh meningkatkan beban kewangan majikan, terutama yang mempunyai bilangan pekerja ramai tetapi kemampuan modal terhad.

Tanpa sokongan produktiviti dan bantuan peralihan yang bersesuaian, sebahagian PKS mungkin terpaksa membekukan pengambilan pekerja, mengecilkan operasi, mengurangkan tenaga kerja atau bergantung kepada pasaran buruh asing yang lebih murah.

Malah, terdapat risiko majikan mempercepatkan penggunaan automasi semata-mata untuk mengurangkan kos buruh. Keadaan ini boleh menjejaskan peluang pekerjaan yang sepatutnya diwujudkan melalui pertumbuhan ekonomi.

Dalam hal ini, langkah kerajaan menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menjadi peneraju penanda aras gaji merupakan pendekatan signifikan. Namun, sektor swasta juga perlu didorong untuk menilai semula amalan penggajian, struktur ganjaran dan pembahagian manfaat keuntungan.

Kejayaan perniagaan tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan pulangan kepada pemegang saham tetapi turut mengambil kira kesejahteraan pekerja.

Kerajaan perlu memastikan pertumbuhan ekonomi bukan sekadar memberangsangkan dalam laporan kewangan korporat dan statistik makroekonomi tetapi turut dirasai dalam kehidupan seharian rakyat. Ukuran lebih bermakna ialah sejauh mana pendapatan sebenar pekerja meningkat, kuasa beli isi rumah bertambah baik dan produktiviti negara berkembang.

Hakikatnya, ekonomi mampan tidak boleh dibina atas keuntungan korporat yang berkembang tanpa peningkatan kesejahteraan tenaga kerja. Matlamat akhirnya bukan sekadar memastikan majikan membayar gaji lebih tinggi tetapi membina sistem ekonomi yang membolehkan pekerja menikmati kekayaan yang mereka sendiri bantu hasilkan. –UTUSAN

 

PENULIS ialah pengamal undang-undang beramal di Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini