PELBAGAI cabaran kehidupan masa kini, seperti tekanan pekerjaan, ketidaktentuan ekonomi, konflik hubungan dan masalah kesihatan mental menyebabkan sebahagian masyarakat semakin mencari pendekatan alternatif untuk memperoleh ketenangan jiwa, membina keyakinan diri dan mencari makna kehidupan.
Keadaan ini membuka ruang kepada perkembangan New Age Movement (NAM) iaitu gerakan kerohanian alternatif tidak berstruktur, menggabungkan pelbagai unsur falsafah Timur, metafizik Barat, kepercayaan terhadap tenaga sejagat dan pendekatan pembangunan potensi diri, berfungsi seperti ‘Pasar Raya Kerohanian’ kerana pengamalnya bebas memilih amalan yang mereka sukai.
Ia berkembang di Barat sejak abad ke 19, dipopularkan oleh penulis dan pemikir spiritual British-Amerika, Alice A. Bailey sebelum idea idea ini tersebar ke pelbagai negara melalui penerbitan buku pembangunan kendiri, media popular, seminar motivasi dan kepimpinan dan program penyembuhan alternatif.
Di Malaysia, konsep teras di dalam NAM ini diperkenalkan dengan menggunakan istilah yang dekat dengan masyarakat Islam, antaranya seperti Hukum Tarikan dikaitkan dengan konsep ‘magnet rezeki.
Pengaruh NAM menimbulkan perbahasan di Malaysia, antaranya melalui kontroversi program ESQ 165 pada 2010, seminar Metamorphosis (2019), amalan Garpu Tala (Jun 2021),
penggunaan istilah ‘Allah Makhluk Halus’ oleh seorang ahli perniagaan (Disember 2021), amalan Meraga Sukma atau Astral Travel (April 2022), dan pelbagai lagi terma yang masih lagi bebas digunakan di atas nama program motivasi dan pembangunan diri.
Persoalannya, siapakah cenderung terlibat dan apakah yang menyebabkan seseorang itu boleh terikat dengan gerakan ini? Farias dan Granqvist pada 2007 menghuraikan perkara ini di dalam bab The Psychology of the New Age.
Mereka mendapati terdapat karakter dan ciri psikologi tersendiri dalam kalangan individu yang menerima atau mengamalkan kepercayaan NAM.
Antaranya adalah mereka mempunyai orientasi yang lebih tinggi terhadap autonomi diri dan mencari makna melalui pengalaman peribadi, kemudiannya membawa kepada sikap individualistik.
Mereka juga didapati lebih cenderung untuk menerima penjelasan yang bersifat paranormal atau metafizik ketika mentafsir peristiwa kehidupan.
Dari sudut proses kognitif, kecenderungan ini dikaitkan dengan pemikiran ajaib atau pemikiran magis iaitu ‘keupayaan’ mereka untuk menghubungkaitkan perkara yang tidak mempunyai hubungan jelas secara realitinya.
Perkara ini dibuktikan dengan kajian eskperimen di Universiti Oxford yang mendapati individu cenderung menerima idea NAM ini lebih mudah untuk membayangkan bentuk tertentu apabila diberikan corak titik secara rawak, walaupun sebenarnya bentuk tersebut tidak jelas atau tidak wujud.
Pemikiran magis dan persepsi yang luar daripada kebiasaan ini juga dilaporkan antara ciri utama personaliti skizotipal oleh pengkaji pengkaji terdahulu.
Selain itu, mereka juga mempunyai sempadan psikologi yang nipis, apabila dilihat lebih mudah dipengaruhi oleh perasaan, imaginasi dan pengalaman dalaman sehingga sukar membezakan antara apa yang dirasai dan dibayangkan dengan apa berlaku secara realiti.
FAKTOR PSIKOLOGI, KERENTANAN EMOSI
Melihat dari sudut perkembangan dan psikodinamik individu NAM, pengalaman hubungan awal antara mereka dengan ibu bapa semasa kecil juga boleh mempengaruhi kecenderungan mereka untuk menerima kepercayaan dan amalan berkenaan apabila dewasa.
Individu NAM ini dilaporkan mempunyai pengalaman keterikatan kurang selamat semasa membesar, khususnya apabila ibu bapa dianggap kurang responsif terhadap keperluan emosi mereka ketika masih kecil.
Dapatan ini juga selari dengan hipotesis pampasan iaitu kemungkinan pencarian spiritualiti alternatif berfungsi sebagai usaha untuk memenuhi keperluan emosi atau psikologi yang tidak didapatkan dalam hubungan awal kehidupan.
Dalam konteks keterikatan romantik apabila dewasa pula, individu yang cenderung dengan gerakan NAM ini kebanyakannya mempunyai keterikatan bercirikan kebimbangan, perasaan bercampur-baur dan juga takut terhadap keintiman.
Meninjau sudut kandungan NAM, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan (Labuan), Dr. Mohd. Aizam Mas’od di dalam Seminar Pemikiran Islam pada 28 Oktober lalu menyatakan terdapat putar belit nas wahyu dan percanggahan akidah yang berlaku di dalam NAM.
Namun, diremehkan hanya sebagai perbezaan pandangan, manakala teguran para asatizah terhadap penyelewengan dilabel sebagai toksik, tenaga negatif, sempit, dan tidak terbuka.
Kritikan terhadap ajaran mereka, dialihkan kepada peribadi orang yang memberi teguran. Dari sudut emosi, teknik seperti limpahan kasih sayang boleh menyebabkan peserta berasa keliru dan takut kehilangan penerimaan kumpulan, yang berpotensi mendorong peserta untuk lebih menurut kehendak pemimpin kumpulan mereka.
Selain itu, pemikiran kritis dan keraguan oleh peserta disangkal oleh mereka sebagai tanda ego atau keengganan untuk berubah, menyebabkan seseorang itu meragui penilaiannya terhadap apa yang sedang berlaku.
Selain itu, kajian lapangan dalam gerakan NAM mendapati terdapat amalan tertentu yang dirancang secara sedar untuk mengawal emosi peserta dan melemahkan penilaian kritis mereka terhadap idea dan praktis NAM.
Penggunaan rangsangan fizikal seperti pernafasan yang terlalu cepat, nyanyian berulang dalam suasana gelap serta bahan psikoaktif, secara langsung mencetuskan tindak balas fisiologi dalam badan, kemudian akan ditafsirkan pemimpin kumpulan sebagai pencapaian atau pengalaman spiritual sebagai bukti keberkesanan ajaran mereka.
Mereka juga menggunakan alat manipulasi paling berkesan iaitu bahasa. Penggunaan istilah diislamisasikan seperti hukum tarikan yang ditukar kepada husnuzon/doa, manifestation dengan doa yang dimakbulkan, tenaga universal dengan kuasa/rahmat Allah, diri hakiki dengan roh atau fitrah, getaran/kekerapan dengan getaran zikir, boleh mengubah cara seseorang memahami sesuatu situasi, sekali gus menjadikan manipulasi berlaku dengan lebih halus dan berkesan.
Secara keseluruhannya, dapat dilihat terdapat unsur manipulasi emosi dan ciri psikologi tertentu yang menyebabkan seseorang cenderung dengan NAM.
Keadaan ini menjadi lebih membimbangkan apabila peserta didorong untuk menghadiri program berulang kali, mengeluarkan wang dengan semakin banyak dan menjauhkan diri daripada hubungan sosial atau keluarga.
Oleh itu, masyarakat wajar berhati hati dan menjauhi kumpulan menunjukkan ciri ciri manipulasi dan kawalan sedemikian, khususnya apabila ia mengaburkan pertimbangan rasional dan menggunakan istilah yang mengelirukan dan tidak jelas. –UTUSAN
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).








