KUALA LUMPUR: Tindakan menghukum hanya berdasarkan dakwaan menganut, mengamalkan atau menyebarkan ajaran New Age Movement (NAM) tanpa mendapatkan penjelasan daripada individu yang dituduh adalah tidak adil.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli menyifatkan berkata, semua pihak perlu menyelidik dan menyemak sesuatu perkara terlebih dahulu sebelum membuat penilaian atau mempercayai cerita yang tersebar.
“Sebelum kita, membuat judgement (penghakiman) atau mempercayai cerita di luar, apa kata ingat pesan Allah dalam Surah al-Hujurat untuk kita bertabayyun, untuk kita selidik dan semak.
“Saya berada di Parlimen sampai malam semalam tapi tidak ada usaha dari pihak Pokok Sena untuk berjumpa saya sendiri untuk bertanya tentang isu ini.
“Sangat tidak adil untuk menghukum saya hanya berdasarkan sebelah pihak. Saya ingin mengajak ayuh kita bertabayyun, semoga perjuangan Islam kita bukan hanya lantang bersuara tetapi kita menghidupkan akhlak dalam perjuangan kita,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Saad (PN-Pokok Sena) berhubung gerakan NAM yang dikaitkan dengan Marhamah. –UTUSAN











