PETALING JAYA: Mengakhiri kemarau kemenangan selama 46 tahun menjadi agenda utama skuad kebangsaan dalam pertembungan menentang China di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, malam ini.
Dalam aksi persahabatan Tier 1 itu, pengendali interim, Tan Cheng Hoe perlu membariskan skuad terbaik bagi mengekang asakan lawan, biarpun turun tanpa beberapa tonggak utama yang tidak bersama pasukan.
Berdasarkan rekod, kali terakhir Malaysia menewaskan China adalah pada 1980 menerusi kemenangan 3-1 dalam aksi persahabatan di Kuala Lumpur yang mana ketika itu skuad negara dibimbing Karl-Heinz Weigang.
Berada di kedudukan ke-96 dan beraksi di laman sendiri, China pastinya mempunyai 1001 kelebihan, namun itu bukan alasan untuk anak buah Cheng Hoe menyerah kalah dan mengangkat bendera putih terlalu awal.
“Memang mana-mana jurulatih pun, mana-mana perlawanan pun, kita inginkan kemenangan dan kita ingin juga cipta sesuatu ketika menentang keputusan dengan China. Tetapi kita tahu kekuatan China.
“Mereka akan turun dengan kekuatan, namun mengharapkan pemain-pemain yang berada dalam skuad kali ini memberi satu persembahan yang terbaik untuk perlawanan menentang pasukan China nanti.
“Pada masa sama, kita perlu memberi peluang kepada pemain muda. Kita memerlukan kumpulan pemain yang lebih besar sebagai persediaan untuk skuad kebangsaan pada masa hadapan,” kata Cheng Hoe.
Untuk rekod, Harimau Malaya terbang ke China dengan rekod baik apabila menamatkan saingan Piala ASEAN FIFA 2026 di tempat ketiga selain mencatatkan rekod tanpa bolos sepanjang kejohanan.
Bagaimanapun, Harimau Malaya kali ini tidak dbarisi tonggak utama seperti Bergson, Arif Aiman Hanapi, Tapp, Hidalgo, Stuart Wilkin, La’Vere Corbin-Ong, Faisal Halim dan juga Nooa Laine.
Selepas berdepan China, skuad Harimau Malaya akan menentang pasukan ranking 144 dunia, Yaman yang turut berlangsung di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Selasa ini. – UTUSAN











