GAZA: Kegagalan Lembaga Keamanan mengutuk serangan udara Israel ke atas Hospital Nasser di Khan Younis sehingga mengorbankan enam rakyat Palestin pada Khamis lalu, memperlihatkan pendirian yang tidak seimbang badan itu dalam menangani konflik di Gaza.
Sebaliknya, badan itu lebih menekankan keperluan melaksanakan segera pelan keamanan yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, selain mengecam Hamas atas dakwaan menggunakan hospital dan infrastruktur awam bagi tujuan ketenteraan.
Dalam kenyataan kelmarin, Lembaga Keamanan mengakui Israel melancarkan serangan berkenaan, namun tidak mengeluarkan sebarang kecaman terhadap tindakan tersebut.
Malah, lembaga itu menyifatkan kehilangan nyawa dalam serangan tersebut sebagai bukti mengapa pelan keamanan Trump perlu dilaksanakan serta-merta tanpa penangguhan.
Menurutnya, kegagalan melaksanakan pelan itu hanya akan menyebabkan tragedi berulang apabila Hamas mendakwa Israel sengaja menyerang hospital, manakala rejim pula menuduh kumpulan pejuang menggunakan kemudahan tersebut untuk operasi keganasan.
Lembaga itu turut mengecam tindakan Hamas yang didakwa terus menggunakan hospital dan infrastruktur awam penting bagi tujuan ketenteraan, tanpa mengemukakan bukti Hospital Nasser dijadikan markas atau lokasi aktiviti ketenteraan.
Badan itu hanya menggesa Israel dan Hamas memenuhi komitmen masing-masing di bawah Pelan Keamanan Komprehensif, termasuk melindungi orang awam, mengekalkan gencatan senjata dan meneruskan usaha pelucutan senjata di Gaza.
Lembaga itu turut mendakwa menyediakan rangka kerja strategik bagi membolehkan rakyat Palestin hidup dengan selamat serta mendapatkan rawatan perubatan di kemudahan yang selamat dan bebas daripada unsur ketenteraan.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memperincikan mekanisme perlindungan yang bakal dilaksanakan bagi mengelakkan serangan berulang terhadap hospital, meskipun kemudahan perubatan sepatutnya menjadi tempat perlindungan bagi pesakit dan petugas kesihatan.
Lembaga itu sebaliknya menuntut semua pihak menyerahkan kuasa dan ruang operasi yang diperlukan bagi membolehkannya melaksanakan rangka kerja berkenaan tanpa sebarang halangan atau kelewatan.
Pendirian itu berbeza dengan reaksi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang secara jelas menyuarakan kebimbangan terhadap serangan Israel dan kesannya terhadap gencatan senjata di Gaza.
Timbalan Jurucakap PBB, Farhan Haq, berkata Pemangku Penyelaras Khas PBB bagi Proses Damai Asia Barat, Ramiz Alakbarov, amat bimbang dengan serangan udara Israel yang mengorbankan enam orang, mencederakan 27 yang lain serta menyebabkan kerosakan besar pada Hospital Nasser.
Alakbarov memberi amaran keganasan berterusan dan peningkatan operasi ketenteraan sejak kebelakangan ini hanya akan menambah penderitaan rakyat Palestin serta mengancam gencatan senjata yang semakin rapuh.
Beliau turut menggesa supaya bantuan kemanusiaan dibenarkan memasuki Gaza dengan segera dan tanpa halangan, termasuk bahan pembinaan tempat perlindungan serta bekalan musim sejuk.
Serangan itu berlaku ketika Israel terus melanggar perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025, dengan pelanggaran dilaporkan mengorbankan 1,622 rakyat Palestin dan mencederakan 5,878 yang lain.- AGENSI











