DAMASCUS: Ratusan penduduk Syria berhimpun bagi membantah siri pencerobohan tentera Israel di selatan negara itu, sehari selepas rejim menembak mati seorang lelaki sindrom down dalam serbuan di wilayah Daraa.
Tunjuk perasaan diadakan di Damascus, Quneitra, Homs dan Hasakah, di mana para penunjuk perasaan mengecam insiden pembunuhan tersebut serta pencerobohan, penahanan dan serangan meriam yang berterusan oleh tentera Israel, lapor Agensi Berita Arab Syria (SANA).
Di ibu negara Damascus, ratusan penduduk berkumpul di luar bangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di daerah Mazzeh bagi menuntut penghentian operasi ketenteraan Israel serta mendesak penghormatan terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Republik Arab Syria.
Ahli keluarga mangsa yang terkorban atau ditahan oleh tentera Israel turut menyertai perhimpunan tersebut, manakala ratusan penduduk termasuk wanita dan kanak-kanak mengadakan demonstrasi di Quneitra.
Perhimpunan serupa turut berlangsung di Dataran Jam Baharu di Homs serta kejiranan Ghuwayran di Hasakah.
Gelombang bantahan itu tercetus susulan pembunuhan Muath Salama Al-Baeer, seorang lelaki Sindrom Down dalam operasi ketenteraan Israel di kampung Jamla, pinggir barat Daraa pada Khamis.
Penduduk tempatan memberitahu Associated Press (AP) Al-Baeer tidak bersenjata ketika ditembak oleh askar Israel. Mangsa sebelum ini tinggal bersama saudara perempuannya selepas kematian kedua-dua ibu bapa mereka.
Menurut laporan SANA, pasukan keselamatan Israel memasuki kejiranan timur kampung berkenaan sebelum menempatkan penembak hendap di atas bumbung bangunan kediaman penduduk.
Sementara itu, tentera Israel mendakwa anggotanya mengesan seorang individu yang menghampiri mereka semasa operasi dijalankan dan melepaskan tembakan selepas individu terbabit terus mara walaupun amaran diberikan. Pihak Israel memaklumkan insiden berkenaan kini berada dalam siasatan.
Jenazah Al-Baeer dikebumikan di kampung halamannya pada Khamis di tengah-tengah kemarahan penduduk tempatan yang semakin memuncak berhubung operasi ketenteraan Israel di kawasan berkenaan.
Kementerian Luar Syria mengecam keras pembunuhan tersebut dan meletakkan tanggungjawab sepenuhnya ke atas Israel, selain menyifatkan serangan ke atas orang awam sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.










