Pekerja penyelenggaraan maut dirempuh pemandu mabuk 

Pekerja penyelenggaraan maut dirempuh pemandu mabuk 

PEKERJA penyelenggaraan maut manakala rakannya parah selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol di Lebuhraya Sultan Iskandar, di sini pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pekerja penyelenggaraan maut manakala rakannya parah selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol di Lebuhraya Sultan Iskandar, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh kedua-dua mangsa yang berada di lorong kiri lebuh raya berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan dua kenderaan itu pada pukul 5.08 pagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, siasatan awal mendapati lima pekerja terdiri daripada seorang penyelia, seorang pemandu lori dan tiga warga Bangladesh menjalankan kerja pemasangan papan tanda amaran di bawah kontrak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kerja-kerja berkenaan bermula pada pukul 11 malam semalam hingga pukul 4 pagi tadi.

“Akibat kemalangan itu, seorang penyelia lelaki berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini..

Katanya, seorang lagi mangsa iaitu pemandu lori berusia 49 tahun mengalami kecederaan di kepala dan tangan kanan serta sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Katanya, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil ujian saringan pernafasan alkohol terhadap pemandu mendapati bacaan sebanyak 64 miligram bagi setiap 100 mililiter (mg/100 ml).

“Pemandu berkenaan ditahan dan direman selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Oktober bagi membantu siasatan,”jelasnya.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(b) dan Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini