Pemandu mabuk dituduh membunuh selepas mangsa maut ketika dirawat

Pemandu mabuk dituduh membunuh selepas mangsa maut ketika dirawat

Pemandu mabuk dituduh membunuh
LOW Kean Peng dibawa polis meninggalkan kamar Mahkamah Majistret selepas mendengar pertuduhan bunuh yang dibacakan ke atasnya di Klang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Pembantu perancang acara sambilan yang dituduh memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kemalangan ke atas seorang penunggang motosikal di Mahkamah Majistret di sini, pada Mei lalu ditukar pertuduhannya kepada membunuh, hari ini.

Pindaan pertuduhan itu dibuat selepas mangsa, Zulfiqar Zamir Amirul Nizam,27, yang dilanggar tertuduh, Low Kean Peng, 35, meninggal dunia ketika menerima rawatan dekat Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pada 25 Mei lalu.

Justeru, pertuduhan baharu dibacakan keatasnya pada prosiding hari ini, namun tiada pengakuan daripada tertuduh direkodkan sehingga ia disebut semula di Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Kean Peng yang berkemeja putih dituduh melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Zulfiqar Zamir di Persiaran Kota, di sini, kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada 13 Mei lalu.

Pertuduhan baharu itu dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta sebatan maksimum 12 kali jika tidak dihukum gantung.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Salman Alfarisi Nawawi memberitahu mahkamah pertuduhan dipinda kepada Seksyen 302 kanun tersebut daripada Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Majistret A. Karthiyayini kemudian menetapkan sebutan semula pada 21 Oktober depan dan menolak permohonan oleh peguam tertuduh, Ethan Tan yang meminta supaya semua pihak dan ahli keluarga tidak membuat sebarang kenyataan atau ulasan dalam media sosial.

Mahkamah memaklumkan, pihak defendan perlu mengemukakan permohonan lain kerana prosiding yang berjalan ketika ini tertumpu kepada pertuduhan jenayah.

Pada 18 Mei lalu, Kean Peng dilapor mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan dengan seorang penunggang motosikal yang kemudian mengalami cedera parah.

Pertuduhan tersebut dibuat selepas pemandu terabit didakwa memandu secara melawan arus lalu merempuh seorang penunggang motosikal yang juga penghantar barangan sehingga tercampak.

Siasatan polis mendapati suspek dalam perjalanan dari arah Pelabuhan Klang ke Shah Alam itu telah melawan arus sejauh 3.5 kilometer. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN